GAMBAR hiasan. FOTO Azhar Ramli
Qira’ah Fatwa

Adakah anak yang masih di bawah jagaan ibu bapa dan sudah baligh namun bekerja secara sementara untuk mendapat duit lebih perlu untuk membayar zakat harta?

Tuntutan kepada kewajipan berzakat dinyatakan Allah SWT di dalam al-Quran. Demikian firman-Nya yang bermaksud: “Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat) supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk) dan doakanlah untuk mereka kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Taubah, ayat 103)

Demikian juga antara syarat yang mewajibkan seseorang itu mengeluarkan zakat iaitu:

• Islam dan merdeka yang bermaksud tidak wajib zakat ke atas orang kafir serta ke atas hamba.

• Pemilikan penuh yang bermaksud harta yang boleh digunakan tanpa apa-apa halangan atau bukan harta dikongsi.

• Cukup nisab yang sudah ditetapkan iaitu sejumlah harta yang mencapai nilai yang diwajibkan untuk berzakat.

• Cukup haul (setahun Qamariah) iaitu genap setahun harta itu berada dalam simpanannya. (Rujuk al-Fiqh al-Manhaji - 2/8, Rujuk Kifayatul al-Akhyar - 1/169)

Untuk menjawab persoalan berkenaan, seseorang itu tidak wajib dikenakan zakat sehingga dia mencukupi syarat yang dinyatakan.

Meskipun seseorang itu masih di bawah jagaan ibu bapanya, sekiranya dia dan hartanya mencukupi syarat berkenaan, maka dia wajib untuk mengeluarkan zakat.

Ini berdasarkan hadis Nabi SAW berikut: Daripada Ali bin Abu Talib, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak wajib zakat harta sehingga berlalu waktu setahun.” (Riwayat Abu Daud - 1573) dan Ibn Majah - 1789)

Dalam isu ini, kami berpendapat seseorang yang memenuhi syarat yang ditetapkan iaitu Islam, merdeka, pemilikan penuh terhadap harta, cukup nisab dan cukup haul wajib ke atasnya untuk mengeluarkan zakat.

Sekalipun seseorang itu masih kanak-kanak atau belum mumayyiz. Hal itu kerana zakat adalah satu ibadat harta yang membabitkan semua orang Islam tidak mengira usia.

Semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan itu mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik.

Sumber: Al-Kafi Li al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Oktober 2018 @ 12:54 PM