ALAM jadi saksi keagungan pencipta-Nya.
Fatimah Syarha Mohd Noordin

Setiap ibu bapa pastinya mahukan anak mereka tahu membaca al-Quran. Jika sekadar itu tujuannya, cara yang digunakan pastinya semudah menghantar anak ke kelas pengajian.

Begitu juhga jika mahu  anak menghafal al-Quran, cara yang diambil mungkin menghantar anak ke pusat tahfiz.

Namun, seandainya ibu bapa mahukan anak bukan sekadar tahu membaca dan menghafal al-Quran, bahkan mencintai, memahami dan mahu mengamalkan al-Quran, maka ia perlu bermula dari rumah.

Bagaimana jika ada ibu bapa tidak tahu membaca al-Quran? Jangan malu, namun tunjukkan kesungguhan untuk belajar bersama-sama dalam keluarga. Ajarkan anak yang kita tahu terlebih dulu. Insya-Allah, ilmu seterusnya akan meningkat dan berkembang berkat kesungguhan yang dilakukan. Terdapat beberapa elemen yang mengubah aura dalam rumah kita kepada suasana lebih indah bersama al-Quran, iaitu:

1. Niat dan matlamat (Ghoyah).

2. Suasana (biah).

3. Contoh teladan (qudwah).

4. Cara (kaedah).

Berkenaan niat dan matlamat, sentiasa ulang bahawa usaha mencintai al-Quran itu semata-mata kerana Allah SWT. Seterusnya, suasana al-Quran dalam rumah perlu diwujudkan. Adakan ruang yang biasa untuk ibu dan ayah duduk menekuni al-Quran sehingga anak tertarik. Gemakan al-Quran dengan suara paling merdu yang kita mampu.

Di situ, ada al-Quran yang mudah dicapai. Jika mahu memahami makna al-Quran yang diturunkan dalam bahasa Arab, maka sudah tentu kita memerlukan al-Quran terjemahan. Lebih indah, dalam suasana itu kita memiliki buku nota khas untuk mencatat isi penting dalam al-Quran. Biar suasana itu menunjukkan kesungguhan terhadap al-Quran.

Selain itu, pastikan kita adakan masa khas bersama al-Quran mengikut keadaan keluarga masing-masing. Misalnya, antara waktu Maghrib dan Isyak atau selepas Subuh asalkan ia dilakukan dalam masa yang diperuntukkan itu.

Tutup televisyen, muzik dan Internet. Buat undang-undang, kemudian tampal di dinding supaya seisi keluarga tahu mereka sangat menghormati saat bersama al-Quran.

Banyak kajian menunjukkan cara terbaik memindahkan satu pengetahuan menjadi realistik ialah dengan menjadi teladan yang diikuti. Mulakan berkongsi motivasi bersama al-Quran daripada penjelasan al-Quran dan hadis kerana tidak semua anak mampu memahami apa yang ibu dan ayahnya cuba tunjukkan.

Andai anak melihat pendidiknya sering mengambil agama secara payah, bukan secara mudah serta bersikap fanatik dan bermusuh dengan aliran berbeza, maka anak itu mungkin mempunyai hubungan tegang dan emosinya tidak stabil ketika berinteraksi dengan sesiapa saja.

Anak mempunyai tahap pertumbuhan, karakter, kemampuan serta kecenderungan berbeza dengan orang dewasa. Usah dinafikan sifat mahu bermainnya. Memang itulah tabiat normal bagi dunia kecilnya.

Gunalah cara penuh kasih sayang, saling mencintai dan ketenangan sehingga anak merasai al-Quran mempunyai keutamaan. Antara cara yang perlu di-
tekuni ialah:

1. Menunjukkan sikap memahami karakter anak.

2. Menggunakan saranan pendidikan terkini.

3. Menggunakan kaedah memahami cara kerja otak anak.

4. Memelihara dan mengembangkan memori anak.

5. Memilih waktu yang tepat untuk mengadakan masa bersama al-Quran bersama  seisi keluarga.

6. Mencungkil dan merangsang bakat anak.

7. Berinteraksi dengan baik saat anak memiliki kesulitan.

8. Mempunyai sistem sokongan luar.

9. Selalu muhasabah diri dan melakukan penambahbaikan.

Realitinya, orang tua mencintai anak mereka secara fitrah, tetapi anak biasanya tidak begitu. Sedalam mana cinta anak pada orang tua biasanya berdasarkan reaksi orang tua pada si anak.

Maka bantulah anak mencintai perilaku ibu bapa terlebih dahulu. Jaga hubungan dengan Allah dan reda dengan segala ujian-Nya.

Kemudian, berinteraksilah dalam setiap fasa perkembangan mereka. Hormati serta tunjukkan sikap memahami potensi dan kecenderungan mereka.

Beritahu anak, kita percaya keputusan mereka. Jangan paksa seperti mengatakan, “Aku beri engkau makan dan tempat tinggal, sebab itu aku berhak paksa engkau hormat aku dan ikut cakap aku.”

Selain itu, selalu ungkapkan perasaan sayang kepada anak melalui perbuatan dan perkataan dan biar amalan itu dilakukan berkali-kali dalam sehari.

Penulis pendakwah dan penulis buku

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Oktober 2018 @ 12:00 PM