GUA Hirak tempat bersejarah ayat pertama al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad.
Datuk Dr Zahazan Mohamed

SAYA selalu mengikut kumpulan membaca al-Quran selepas solat Isyak di surau. Kumpulan kami akan bersama-sama membaca surah al-Mulk sebelum pulang ke rumah. Saya tahu al-Quran adalah sebuah kitab yang luar biasa, tetapi tidak faham mengenai mukjizatnya. Bolehkah ustaz jelaskan mengenai mukjizat al-Quran?

Khairul, Kuantan, Pahang

SEBENARNYA al-Quran adalah mukjizat Nabi Muhammad SAW. Mukjizat dari sudut bahasa bermakna melemahkan. Maksudnya, perkara luar biasa yang dianugerahkan Allah SWT kepada seorang rasul sebagai bukti kebenaran risalah yang dibawa mereka kepada umat manusia.

Mukjizat ada dua jenis. Pertama, mukjizat hissi iaitu mukjizat yang dapat dikesan dan dilihat oleh pancaindera. Contohnya, tongkat Nabi Musa bertukar menjadi ular.

Kedua, mukjizat maknanawi yang maksudnya mukjizat yang dapat dikesan dan dihayati melalui minda dan mata hati. Contohnya al-Quran. Namun, bukan semua perkara luar biasa itu mukjizat.

Perkara luar biasa merangkumi sihir, silap mata, ilham, irhas, istidraj, ma’unah dan karamah. Justeru, kita perlu mengenal hakikat setiap perkara luar biasa berkenaan.

Sihir adalah perkara yang dilakukan manusia dengan pertolongan syaitan untuk menyesatkan manusia. Contoh sihir ialah tongkat ahli sihir Firaun menjadi ular. Silap mata pula ialah sesuatu tipu muslihat dilakukan manusia melalui kepantasan tangan dan teknik tertentu.

Contoh silap mata ialah keluar bunga daripada sapu tangan. Ilham pula ialah perolehan idea oleh manusia sama ada secara spontan, mimpi atau proses berfikir. Contoh ilham ialah ijtihad seorang mujtahid. Irhas ialah perkara yang berlaku kepada nabi sebelum mereka diutus menjadi rasul.

Contoh irhas ialah malaikat membelah dada Nabi Muhammad SAW untuk menyucikan hatinya. Istidraj ialah sesuatu kelebihan yang diberikan oleh Allah SWT kepada manusia untuk menambahkan lagi kesesatan mereka.

Contohnya, kuasa yang ada pada Firaun. Ma’unah pula ialah pertolongan daripada Allah SWT kepada manusia biasa untuk menyelamatkan mereka daripada sesuatu malapetaka. Contohnya, terselamat daripada nahas kapal terbang.

Karamah ialah sesuatu kelebihan yang diberikan Allah SWT kepada hamba yang beriman dan bertakwa seperti memiliki kekuatan fizikal.

Al-Quran mempunyai ketinggian bahasa dari segi kedudukan hurufnya serta memiliki bahasa yang tinggi dan indah. Ia mengandungi kisah dulu kala berkaitan nabi dan rasul. Ia juga menceritakan perkara ghaib seperti malaikat, jin, syurga dan neraka.

Al-Quran juga menceritakan perkara yang berlaku pada masa lampau dan hadapan seperti hari kiamat selain turut menghuraikan secara umum atau terperinci perkara berkaitan syariah.

Selain itu, al-Quran menerangkan berkaitan ilmu pengetahuan seperti penemuan sains, kejadian makhluk yang berpasangan, kejadian siang dan malam serta kejadian dan peranan air.

Ketinggian bahasa pada al-Quran sehingga pakar bahasa sekalipun tidak mampu menandinginya.

Penulis ialah pendakwah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Oktober 2018 @ 2:00 AM