FOTO Hiasan.
Hilmi Isa

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Jika solat sudah ditunaikan, maka bertebaranlah kalian di muka bumi, carilah kurniaan Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kalian beruntung.” (Surah al-Jumu’ah, ayat 10)

Pekerja asing dianggap bagus kerana rajin bekerja. Pengalaman saya sebagai ahli masyarakat, kisah gadis Melayu berkahwin dengan lelaki dari Bangladesh bukan satu perkara asing.

Filem hindustan salah satu faktor wanita Melayu mudah jatuh cinta dengan pekerja asing. Konon-kononnya rupa pekerja asing persis bintang filem terkenal seperti Shah Rukh Khan. Maka, berlumba-lumbalah gadis Melayu memikat ‘Mat Bangla’.

Sebelum berkahwin, memang baik keadaannya, tetapi selepas berkahwin isteri menjadi mangsa belasahan dan ada juga kes bapa wanita itu turut menjadi mangsa pukul.

Sebelum kahwin, lelaki itu mengaku bujang. Selepas berkahwin, baru tahu dia sudah mempunyai isteri di negara asalnya. Barulah tersedar selama ini diri hanya menjadi alat untuk suami melepaskan nafsu dan mengisi kesunyian.

Sesetengah yang lain pula menjadikan gadis Melayu alat untuk mendapatkan kewarganegaraan, mudah dapat peluang perniagaan dan pihak berkuasa tempatan tidak ganggu.

Jika ditinjau keadaan di Tambak Johor, kita boleh saksikan bagaimana ratusan ribu rakyat Malaysia beratur dan mengharungi kesesakan setiap pagi untuk mencari rezeki di Singapura.

Mereka bangun seawal jam 3 atau 4 pagi dan hanya tiba di rumah lewat jam 10 malam pada setiap hari. Mereka hanya tidur lima jam saja setiap hari.

Hakikatnya, pekerja warga asing di Malaysia dan rakyat Malaysia di Singapura berada dalam situasi yang sama iaitu perantau. Perantau akan berusaha kuat apabila berada di perantauan.

Pekerja Bangladesh ini misalnya sudah menggadaikan tanah mereka demi membayar yuran ejen untuk datang ke Malaysia. Mereka terpaksa bekerja keras demi mendapatkan kembali wang yang dilaburkan.

Begitu juga rakyat Malaysia di Singapura. Mereka berada dalam keadaan yang sama. Mereka berbelanja tinggi untuk mendapatkan pekerjaan di sana dan akan bekerja keras demi mendapatkan hasil yang setimpal.

Pekerja Bangladesh di negara ini bekerja keras untuk mendapatkan gaji sebanyak RM1,500 sebulan. Wang sebanyak itu apabila dihantar pulang ke negara asal akan menjadi Taka 30,500. Rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura bekerja keras demi S$1,500 kerana apabila wang dibawa pulang ke Malaysia setiap bulan bernilai RM4,500.

Ada yang bekerja sebagai pencuci di sana, tetapi gaji mengalahkan graduan. Pengangguran yang tinggi dikatakan berpunca daripada sikap graduan yang terlalu memilih kerja dan ada yang meminta gaji yang tinggi walaupun tiada lagi pengalaman bekerja.

Daripada Zubair bin Awwam, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jika salah seorang daripada kalian pergi membawa kapaknya, lalu datang membawa seikat kayu bakar di punggungnya, lalu ia menjualnya hingga Allah menyelamatkannya daripada kehinaan. Maka yang demikian itu jauh lebih baik daripada ia meminta-minta pada orang lain.” (Hadis Riwayat al-Bukhari) 

Penulis Perunding Psikologi Bahasa

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Oktober 2018 @ 1:30 AM