FOTO Hiasan.
Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin

AL-QURAN memerintahkan umat Islam melayan orang bukan Islam yang tidak bermusuhan dengan Islam dengan semangat kebaikan dan kemurahan hati. Allah berfirman yang bermaksud: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Al Mumtahanah, ayat 8-9)

Seorang ulama terkenal, Al-Qarafi dalam kitabnya ‘al-Furooq,’ memberikan tafsiran secara mendalam makna ‘berbuat baik’ seperti yang dinyatakan dalam ayat itu antara lain:

n Berlembut terhadap mereka yang lemah.

n Menyediakan pakaian untuk menutupi mereka.

n Berkata-kata dengan perkataan yang lembut.

n Mendoakan kepada mereka supaya menerima petunjuk.

n Memberi nasihat kepada mereka dalam semua perkara.

n Melindungi reputasi jika mereka terdedah kepada fitnah selain mempertahankan harta, keluarga, hak dan keprihatinan mereka.

n Membantu mereka menentang penindasan dan mendapatkan hak mereka. Segala kebaikan yang dilakukan mesti dibuat dengan penuh kasih sayang dan belas kasihan.

Perintah Allah untuk melayan orang bukan Islam dengan cara seperti itu hendaklah dipandang penting oleh umat Islam. Ayat-ayat Allah itu hanya untuk dibacakan, tetapi diamalkan.

Rasulullah memberikan banyak contoh dalam usaha untuk sentiasa bertolak ansur dengan orang bukan Islam.

Terdapat jiran baginda bukan Islam tetapi Nabi tetap bermurah hati bertukar-tukar hadiah. Nabi juga menziarahi apabila mereka jatuh sakit selain baginda juga pernah melakukan kebajikan kepada sebuah keluarga Yahudi.

Penulis Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Profesor di Universiti Putra Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Oktober 2018 @ 1:30 AM