FOTO Hiasan.
Sedetik Rasa

BERAPA banyak ibadat yang kita lakukan selama ini benar-benar ikhlas kerana Allah SWT? Di dalam al-Quran ada dinyatakan, ada orang bersolat iaitu melakukan gerakan rukuk dan sujudnya dengan baik sekali namun isi hatinya tidak benar-benar fokus.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “(Kalau orang yang demikian dikira daripada bilangan orang-orang yang mendustakan agama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang ahli sembahyang. (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya. (Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riyak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya).” (Surah al-Maa’uun, ayat 4-6)

Berdasarkan ayat itu, walaupun seseorang itu bersolat, dia masih berada dalam keadaan celaka. Memang sangat merugikan buat golongan seumpama itu. Solatnya menjadi sia-sia kerana disebabkan sifat lalainya.

Antara kelalaian yang dinyatakan adalah riyak ketika solat. Itulah penyakit yang menghilangkan pahala solat di sisi Allah SWT. Dia berniat hanya untuk menunjuk-nunjuk kepada rakan. Maka, kita perlu berhati-hati kerana apa yang dikira Allah SWT adalah niat,  bukannya pada banyaknya amal ibadat yang dilakukan.

Firman Allah dalam Surah al-Baqarah, ayat 264 bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riyak) dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat.

Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riyak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun daripada apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.”

Ketika membaca al-Quran, jika ayat itu dimulakan dengan kalimat iman, itu tandanya maklumat yang hendak disampaikan akan menjadi penunjuk keimanan kita.

Semakin cepat seseorang melaksanakan solat apabila masuk waktunya, maka itu menunjukkan keimanan berada pada tahap yang mantap.

Tidak dinafikan, memang sukar untuk mencapai tahap solat seperti dilaksanakan  sahabat Nabi, namun umat Islam perlu berusaha mendapatkan khusyuk dengan menghindarkan daripada memikirkan hal lain ketika solat.

Sehubungan itu, untuk mendapatkan fokus, kita perlu berusaha memahami setiap ayat dan bacaan dalam solat. Pastikan juga telinga mendengar bacaan yang dilafazkan serta mata ditumpukan ke tempat sujud.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Oktober 2018 @ 1:30 AM