Gambar hiasan. FOTO Ramdzan Masiam
Datuk Dr Zahazan Mohamed

Adakah semua orang layak mendapat syafaat di akhirat kelak?

Khairul Anwar, Sungkai, Perak

Syafaat tidak diberikan kepada setiap orang, tetapi hanya diperuntukkan buat ahli tauhid yang mati dalam akidah dan mengatakan ‘La ilaha illah’ (tiada Tuhan melainkan Allah).

Allah berfirman dalam surah al-Anbiya, ayat 27 dan 28 yang bermaksud: “Mereka tidak mendahului-Nya dengan perkataan dan mereka mengerjakan apa yang diperintahkan-Nya. Allah mengetahui apa yang di hadapan mereka (yang telah mereka lakukan) dan apa yang di belakang mereka (yang akan mereka lakukan) dan mereka tidak memohon syafaat melainkan bagi sesiapa yang diredai Allah dan mereka pula sentiasa cemas takut daripada ditimpa azab-Nya.”

Malaikat tidak boleh memberikan syafaat melainkan kepada orang yang mendapat reda Allah. Mereka adalah golongan yang mati dalam akidah dan tidak menyekutukan-Nya sebagaimana yang dinyatakan ulama tafsir.

Tidak boleh kita mengatakan orang yang mendapat reda Allah hanya buat mereka yang soleh, taat serta bertaubat.

Manakala golongan yang banyak melakukan maksiat dan dosa tidak layak mendapatkannya. Mungkin kita mengatakan orang soleh tidak memerlukan syafaat lagi dan golongan yang memerlukannya adalah orang yang ketika hayatnya mensia-siakan kewajipan serta melakukan perkara dilarang Allah.

Walaupun orang yang memerlukan syafaat itu melakukan larangan, tetapi mereka tetap mendapat reda Allah kerana keimanannya dan mereka juga tergolong dalam umat pilihan sebagaimana dinyatakan dalam surah Fathir, ayat 32 yang bermaksud: “Kemudian Kitab itu (al-Quran) Kami wariskan kepada orang-orang yang Kami pilih daripada kalangan hamba Kami. Maka, dalam kalangan mereka ada yang menzalimi diri mereka sendiri (dengan tidak mengendahkan ajaran al-Quran), ada antaranya yang pertengahan dan antaranya pula ada yang mendahului berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (daripada Allah semata- mata).”

Berbeza dengan orang yang menyekutukan Allah (musyrik), mereka tidak akan dapat syafaat.

Di akhirat kelak, mereka akan berkata sebagaimana dijelaskan menerusi firman Allah yang bermaksud: “Berkatalah orang-orang yang melupakannya (yang tidak menghiraukannya di dunia) dahulu: “Sesungguhnya telah datang rasul-rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran, maka adakah untuk kami pemberi syafaat lalu mereka memberikan syafaat bagi kami atau (bolehkah) kami dikembalikan (ke dunia) supaya kami dapat beramal, lain daripada apa yang kami kerjakan?” (Surah al-A’raf, ayat 53)

Begitu juga ayat 18 dalam surah Mukmin yang bermaksud: “Dan berilah peringatan (wahai Muhammad) kepada mereka mengenai hari (kiamat) yang dekat (masa datangnya) iaitu ketika hati seseorang berasa resah gelisah kerana cemas takut sambil masing-masing menahan perasaannya itu.

“(Pada saat itu) orang-orang yang zalim tidak akan mendapat seorang sahabat pun yang boleh membelanya dan tidak akan mendapat pemberi syafaat yang diterima pertolongannya.”

Ayat itu adalah bagi merendahkan orang kafir dan mematahkan harapan mereka. Bagaimanapun, orang Mukmin yang melakukan maksiat tidak termasuk dalam golongan berkenaan.

Allah berfirman mengenai orang kafir yang berada di dalam neraka menerusi firman-Nya di dalam surah as-Syu’ara, ayat 97 hingga 102, ketika berkata kepada berhala milik mereka, maksudnya: “Demi Allah! Sesungguhnya kami (sewaktu di dunia dahulu) adalah dalam kesesatan yang nyata. Sebab kami menyamakan kamu dengan Tuhan semesta alam. Dan tiadalah yang menyesatkan kami melainkan golongan yang berdosa.

“Dengan sebab itu, tiadalah kami beroleh sesiapa pun yang memberi pertolongan (syafaat). Dan tiada juga sahabat karib yang bertimbang rasa. Maka, alangkah baiknya kalau kami dapat kembali ke dunia sekali lagi supaya kami menjadi daripada orang-orang beriman.”

Penulis ialah pendakwah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Oktober 2018 @ 3:00 PM