KEMATIAN adalah janji yang pasti kepada semua yang bernyawa.
Qira’ah Fatwa

Benarkah sifat mati itu mengejut?

Pada hakikatnya, kematian adalah satu ketentuan Allah SWT. Setiap manusia pasti akan mengalami kematian.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan).” (Surah al-Ankabut, ayat 57)

Ibn Kathir berkata: Iaitu di mana saja kamu berada, nescaya kematian akan mendatangi kamu. Maka, hendaklah kamu berada dalam ketaatan kepada Allah. (Rujuk Tafsir al-Quran al-‘Azim(6/197)

Apabila seseorang sudah tiba ajalnya, maka tidak dapat lagi diundurkan atau dipercepatkan walaupun sesaat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang ditetapkan), maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaat pun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.” (Surah al-A’raf, ayat 34)

Kematian mengejut antara tanda-tanda hampirnya berlaku kiamat. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya di antara tanda-tanda hari kiamat adalah…munculnya kematian mengejut.” (Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Saghir - 1132)

Daripada Aisyah, beliau berkata: Aku bertanya kepada Rasulullah SAW berkenaan kematian mengejut. Lalu Baginda bersabda maksudnya: “(Mati mengejut) adalah suatu kesenangan bagi seorang Mukmin dan penyesalan bagi orang derhaka.” (Riwayat Imam Ahmad - 25556)

Turut disebut di dalam kitab Fath al-Bari, sebahagian daripada ulama salaf tidak menyukai kematian yang datang secara mengejut. Hal itu kerana dibimbangi kematian mengejut tidak memberi kesempatan bagi seseorang untuk meninggalkan wasiat dan juga mempersiapkan diri untuk bertaubat serta melakukan amal soleh.

Perkara itu dinukilkan Imam Ahmad dan sebahagian daripada ulama mazhab Syafi’i. Imam al-Nawawi menyatakan, beberapa orang daripada kalangan sahabat Nabi SAW dan juga orang soleh meninggal secara mengejut.

Imam al-Nawawi berkata: “Kematian mengejut itu disukai oleh para muqarrabin (mereka yang sentiasa menjaga amal kebaikan kerana berasa diawasi oleh Allah).”(Fath al-Bari - 3/245)

Al-Hafiz Ibnu Hajar kemudian berkata, “Dengan yang demikian, maka kedua-dua pandangan di atas dapat disatukan.”(Fath al-Bari - 3/255)

Disebut bahawa Luqmanul Hakim pernah memberikan nasihat peringatan kepada anaknya mengenai kematian mengejut. Daripada Uthman bin Zaidah, beliau berkata yang bermaksud: Luqmanul Hakim pernah menasihati anaknya dengan berkata: “Wahai anakku! Janganlah kamu menunda taubat, sesungguhnya kematian akan datang secara tiba-tiba…” (Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman - 6802)

Marilah kita sama-sama memohon kepada Allah SWT supaya mengurniakan kepada kita kematian dalam khusnul khatimah sebagaimana yang selalu didoakan oleh salafus soleh: “Ya Allah sudahilah bagi kami dengan sebaik-baik kesudahan dan janganlah Engkau tamatkan ke atas kami dengan seburuk-buruk kesudahan.”

Sumber: Al-Kafi Li al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 September 2018 @ 11:57 AM