FOTO hiasan. FOTO Nazdy Harun
Datuk Dr Zahazan Mohamed

Saya mempunyai seorang adik. Dahulu kami sangat rapat, tetapi kini saya tidak pasti apa sebabnya dia begitu marah terhadap saya.

Saya dengar dia pergi berjumpa bomoh dan menuduh saya menyihir keluarga isterinya. Demi Allah, saya tidak buat perkara itu.

Saya cuba untuk berbaik semula tetapi dia dan keluarganya tetap berkeras enggan menerima kami. Mana-mana orang yang rapat dengan saya juga dia hendak putuskan hubungan dan suka memburukkan saya dan keluarga.

Fahmi, Ampang, Selangor

Silaturahim terdiri daripada dua perkataan iaitu ‘silah’ dan ‘ar-rahim’. Silah bererti menyambung manakala rahim bererti rahim wanita. Kalimah itu membawa maksud kaum kerabat.

Sebagaimana disebut Ar-Raghib al-Asfahani dalam kitab Ruhul Ma’ani iaitu: Ar-rahim yang dimaksudkan ialah rahim wanita iaitu tempat janin berkembang dan terlindung dalam perut wanita. Istilah ar-rahim digunakan untuk menyebut kaum kerabat kerana mereka berasal daripada satu rahim.”

Maksud silaturahim ialah menjalinkan hubungan antara kaum kerabat. Imam Nawawi menerangkan dalam kitab Syarh Sahih Muslim: Adapun silaturahim ialah berbuat baik dengan kaum kerabat sesuai dengan orang yang hendak menghubungkan dan keadaan orang yang hendak dihubungkan.

Kadang-kadang ia berupa kebaikan dalam perkara harta, bantuan tenaga, mungkin juga dengan cara mengunjunginya serta memberi salam.

Allah SWT memerintahkan supaya menghubungkan silaturahim. Firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa’, ayat 36 bermaksud: “Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua-dua ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong dan membanggakan diri.”

Disebutkan dalam sahih Bukhari dan Muslim, daripada Abu Ayub al-Ansari bahawa ada seorang lelaki berkata kepada Rasulullah SAW dan Baginda bersabda yang bermaksud: “Wahai Rasulullah beritahu kepadaku mengenai sesuatu yang boleh memasukkan aku ke dalam syurga dan menjauhkan aku dari neraka.”

Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya dia diberi taufik atau sesungguhnya dia diberi hidayah, apa tadi yang engkau katakan?”

Lalu lelaki itu pun mengulangi lagi perkataannya. Setelah itu, Nabi SAW bersabda bermaksud: “Engkau beribadat kepada Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun, dan hendaklah mendirikan solat, menunaikan zakat dan engkau menyambungkan silaturahim.”

Setelah orang itu pergi, Nabi SAW bersabda: “Jika dia melakukan apa yang aku perintahkan, pasti dia masuk syurga.”

Antara kelebihan menjalinkan hubungan silaturahim ialah menjadi penyebab umur panjang dan dilapangkan rezeki. Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia menyambung hubungan silaturahim.” (Hadis Muttafaqun Alaih)

Orang yang memutuskan hubungan silaturahim, Allah juga memutuskan hubungan dengannya.

Sebuah hadis menyatakan: Ar-rahim tergantung di Arasy. Baginda berkata, “Sesiapa yang menyambungku, maka Allah akan menyambungnya. Dan sesiapa yang memutusku, maka Allah akan memutuskan hubungan dengannya.” (Hadis Muttafaqun Alaih)

Justeru, jangan berputus asa. Sambungkan hubungan silaturahim dengan kaum kerabat walaupun mereka sendiri memutuskannya.

Ini kerana Allah SWT akan memberikan ganjaran pahala atas segala usaha susah payah kita memulihkan kembali hubungan kekeluargaan.

Mudah-mudahan dengan amalan itu kita akan dimasukkan ke dalam syurga. Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang menyambung silaturahim itu bukanlah yang menyambungkan hubungan yang sudah terjalin tetapi orang yang menyambungkan silaturahim ialah orang yang kembali menjalinkan hubungan kerabat yang sudah terputus.” (Hadis Muttafaqun Alaih)

Penulis ialah pendakwah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 September 2018 @ 11:57 AM