FOTO hiasan. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
Fadly Samsudin

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bersegeralah dengan melakukan amal-amal! Sebelum berlaku fitnah seperti kegelapan akhir malam yang gelita, (di mana) seorang lelaki itu beriman pada waktu pagi dan menjadi kafir pada waktu petang atau dia beriman pada waktu petang dan menjadi kafir pada waktu pagi. Dia menjual agamanya dengan kesenangan dunia.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Itulah kemuncak pada zaman fitnah yang akan berlaku kelak. Dalam hadis itu, Nabi menyatakan akan tiba satu suasana sehingga manusia itu boleh berubah begitu cepat sekali iaitu pagi beriman manakala petang menjadi kafir dan begitulah sebaliknya.

Bibit-bibit ke arah itu sebenarnya sudah kelihatan. Justeru, kita perlu sentiasa berhati-hati kerana apabila tibanya saat itu, umat Islam tidak dapat lagi melakukan ibadat dengan tenang dan aman seperti apa yang kita kecapi hari ini.

Sebelum sampainya waktu itu, umat Islam perlu bersegera melakukan sebanyak-banyaknya amal ibadat. Ulama menyatakan zaman yang kita hidup sekarang ini adalah kemuncak kepada zaman fitnah.

Kita bersyukur kerana Allah SWT masih memberi peluang kepada kita beramal ibadat kerana belum lagi memasuki fasa paling sukar itu.

Fasa itu adalah apabila seorang lelaki bernama Dajjal mengisytiharkan dirinya Tuhan ke seluruh alam. Beberapa hari sebelum kemunculannya, akan berlaku seperti apa dinyatakan dalam hadis berkenaan iaitu fitnah menjadi seperti malam yang gelap gelita.

Ketika itu, manusia tidak lagi dapat membezakan yang mana satu perkara benar dan salah. Pada zaman fitnah ini, manusia terdedah dengan begitu banyak dosa besar.

Sedar atau tidak, ramai manusia hari ini melakukan dosa besar kerana menyebarkan fitnah menyebabkan ramai orang percaya walaupun perkara itu tidak benar.

Jika hari ini, ada wanita diuji suami tidak baik perangainya namun lihat bagaimana Asiah iaitu isteri Firaun tinggal bersama suami yang menjadi sejahat-jahat manusia di dunia ini.

Kuasa yang ada pada Firaun menyebabkan dia lupa bahawa dia seorang manusia biasa. Seluruh kerajaan yang diperintahnya ketika itu disuruh menyembahnya.

Malah, dengan penuh bangga dia mengisytiharkan dirinya sebagai Tuhan. Nabi SAW menyatakan di dalam syurga kelak ada empat orang penghulu wanita iaitu Maryam binti Imran (ibu Nabi Isa), Khadijah binti Khuwailid (isteri Nabi), Fatimah binti Muhammad (anak Rasulullah SAW) dan Asiah (isteri Firaun).

Sebab itu, tiada alasan untuk kita berubah sekiranya sekarang mempunyai masalah dengan suami atau isteri. Kisah Asiah diseksa dan dibunuh patut menutup semua mulut wanita yang diuji dengan sikap dan perangai suami yang tidak baik.

Begitu juga sebagai seorang pekerja ada memberi alasan sukar untuk menutup aurat kerana mendapat arahan pihak majikan. Lihat bagaimana pekerja Firaun iaitu Mashitah dibunuh kerana mempertahankan akidahnya.

Mashitah bekerja sebagai tukang sikat rambut anak Firaun, tetapi tidak menghalangnya melakukan serta melaksanakan perintah Allah SWT.

Sebelum dibunuh, kisahnya bermula apabila Mashitah hendak mengambil sikat yang jatuh, lalu dia mengungkapkan bismillah.

Kejadian itu menyebabkan anak perempuan Firaun marah dan bertanya, adakah Allah itu ayahnya? Mashitah menjawab, Tuhannya, Tuhan anak Firaun itu serta Tuhan ayahnya adalah Allah SWT.

Anak Firaun memberitahu ayahnya, lalu Firaun memanggil Mashitah. Firaun berkata, selama ini kamu ada Tuhan selain aku?

Mashitah menjawab, ya, Tuhan aku dan Tuhan kamu adalah Allah. Firaun bertanya kepada Mashitah, bukankah dia mempunyai anak-anak?

Firaun mengarahkan tenteranya mengambil semua anak Mashitah seramai lima orang sebelum seorang demi seorang dibunuh di dalam minyak panas.

Jelas kepada kita, begitu kuat dan kentalnya akidah mereka sekeluarga demi mempertahankan Islam sehingga nyawa terpaksa menjadi taruhan.

Bagaimanapun, Nabi mendengar suara seluruh keluarga Mashitah di dalam syurga. Ketika peristiwa Mikraj, Nabi diizinkan Allah SWT masuk ke dalam syurga dan ada mencium bau yang sangat wangi.

Nabi Muhammad SAW bertanya kepada Jibril: “Wahai Jibril, bau siapa yang cukup harum itu? Jibril berkata, itu adalah bau Mashitah dan anak-anaknya.

Selain itu, untuk melakukan perubahan dalam hidup ini, kita perlu bijak memilih kawan. Dalam satu hadis sahih, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Perumpamaan orang yang bersahabat dengan orang soleh dan orang yang bersahabat dengan orang buruk perangai seperti penjual minyak wangi dan tukang kimpal besi. Pasti engkau akan dapat bauan wangi daripada penjual minyak wangi sama ada membelinya atau tidak. Sedangkan daripada tukang besi, kamu akan berasa bahang atau kainmu atau kamu akan mendapatkan bau yang tidak sedap”. (Hadis riwayat Bukhari)

Dalam al-Quran ada dua ayat menyatakan di padang mahsyar kelak, ramai orang menyesal kerana mereka dahulu berkawan dengan golongan yang tidak baik.

Antara ayat al-Quran menceritakan seorang mengheret kawannya daripada seorang yang baik kepada ahli neraka adalah daripada Surah al-Furqaan, ayat 28: “Wahai celakanya diri aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib!”

Kisah itu berlaku kepada sahabat Nabi bernama Uqbah bin Abu Muayt. Dia adalah sahabat rapat Nabi yang pada mulanya seorang Islam namun akhirnya menjadi murtad.

Dia berkawan dengan Ubay bin Khalaf yang menghasutnya sehingga murtad. Ubay adalah seorang bukan Islam yang menjadi satu-satunya manusia dibunuh sendiri oleh Nabi Muhammad SAW.

Kata ulama tafsir, Uqbah menyesal apabila memilih Ubay menjadi sahabatnya.

Sehubungan itu, sempena kedatangan Tahun Baru Hijrah ini, kita perlu memilih kawan yang soleh untuk selalu berdampingan dengannya.

Kawan baik adalah mereka yang mengajak kita ke arah kebaikan. Apabila bertemu dengannya, dia akan mengingatkan kita kepada Allah SWT sama ada melalui lisan atau perbuatannya.

Penulis wartwan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 September 2018 @ 12:53 PM