FOTO hiasan. FOTO Amirudin Sahib.
Sedetik Rasa

Manusia sememangnya tidak mahu membicarakan soal kematian kerana ia sesuatu yang menakutkan. Bagaimanapun, perjalanan hidup yang kita lalui setiap hari ini sebenarnya semakin mendekatkan diri kita dengan kematian.

Tiada sebarang jaminan individu itu mampu hidup untuk setahun berikutnya. Apabila seseorang itu mati, maka segala kenangan terus lenyap begitu saja.

Segala jawatan yang pernah disandang, harta yang dikumpul, isteri, anak, ibu bapa dan seluruh keluarga yang disayangi akan ditinggalkan.

Hanya amalan saja yang akan dibawa sebagai bekalan menempuh ‘kehidupan’ seterusnya. Ibnu Umar meriwayatkan, “Rasulullah memegang bahuku lalu berkata, ‘Jadilah kamu di dunia ini seperti orang asing atau perantau.’

“Kemudian, Ibnu Umar berkata: ‘Sekiranya kamu berada pada waktu petang, jangan kamu mengharap untuk hidup sampai pagi hari. Sekiranya kamu berada pada waktu pagi, jangan kamu menanti waktu petang. Gunakan waktu sihatmu sebagai bekalan pada masa sakitmu dan masa hidupmu untuk kematianmu.’” (Hadis riwayat Bukhari)

Dalam buku Cara Indah Untuk Mati dinyatakan pada saat akhir dalam kehidupan manusia khususnya ketika melalui proses roh terpisah daripada jasad, individu berada dalam keadaan takut dan gementar.

Sakit itu semakin pedih kerana pada masa itu dia akan merasakan betapa pentingnya amalan soleh. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Qiyamah, ayat 26 hingga 30 yang bermaksud: “Sedarlah (janganlah mengutamakan dunia dan melupakan akhirat. Ingatlah akan hal orang yang hendak mati) apabila rohnya sampai ke pangkal kerongkong. Dan (orang-orang yang hadir di sisinya heboh) berkata: ‘Siapakah yang dapat menawar jampi (dan mengubatnya)?’

“Dan dia sendiri yakin, sesungguhnya itu saat perpisahan serta kedahsyatan bertindih-tindih, (Maka) kepada Tuhanmu lah - pada waktu itu - engkau dibawa (untuk menerima balasan).

“Selepas seseorang itu mati, dia akan melalui fasa ‘kehidupan’ di alam kubur. Justeru, kita perlu sentiasa berwaspada supaya terhindar daripada menjadi golongan yang mendapat pengakhiran yang buruk.

“Kematian dengan alam kubur akan membuka segala-galanya yang belum terungkap pada diri manusia ketika hidup.”

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Baca kitab atau suratan amalanmu. Cukup engkau sendiri pada hari ini menjadi penghitung kepada dirimu berkaitan segala apa yang engkau lakukan.” (Surah al-Israk, ayat 14)

Realiti hidup ini, setiap manusia diberikan ujian dalam pelbagai bentuk antaranya godaan hawa nafsu dan kesenangan. Tidak ada manusia yang terlepas daripada ujian termasuk orang yang beriman.

Sehubungan itu, jangan biarkan kemewahan dan kesenangan yang dinikmati di dunia ini menyebabkan diri menjadi lalai dan menderhaka.

Sememangnya di dunia ini manusia mampu memperoleh segala kesenangan dan kemewahan namun jika ia diibaratkan dengan kehidupan akhirat, dunia ini ibarat hiburan dan permainan.

Akhirat itulah kehidupan sebenar-benarnya dan sekiranya manusia memahami hakikat itu, mereka tidak akan melupakan nasibnya di akhirat kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 September 2018 @ 12:44 PM