FOTO hiasan. FOTO Malai Rosmah Tuah
Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin

16 September tarikh keramat buat seluruh rakyat Malaysia. Pada tarikh itu, secara rasminya Malaysia dibentuk hasil gabungan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

Malaysia sebuah negara yang sangat unik kerana di dalamnya terdapat kepelbagaian bangsa, etnik, agama, budaya dan bahasa.

Kepelbagaian itu memberikan cabaran besar untuk menghasilkan pembentukan sebuah masyarakat yang boleh hidup dalam harmoni.

Interaksi dalam kepelbagaian itu juga menuntut setiap anggota masyarakat memahami, menghargai, menghormati, menjiwai serta menerima keadaan itu dengan sikap terbuka.

Itulah ketentuan dianugerahkan Allah SWT yang sepatutnya seluruh rakyat Malaysia rasa bersyukur. Walaupun terdapat perbezaan, namun pasti wujud persamaan.

Sehubungan itu, kita hendaklah melihat dan mencari titik persamaan itu bukannya memperbesar atau tertumpu kepada perbezaan semata-mata.

Setiap manusia diciptakan satu-satunya Tuhan Maha Agung iaitu Allah SWT. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (Hawa) dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut nama-Nya serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.”

Hakikatnya, semua manusia berasal daripada Nabi Adam dan isterinya Hawa. Kemudian manusia berkembang biak dengan kepelbagaian yang indah.

Tujuan utama Allah mencipta manusia dengan kepelbagaian adalah supaya manusia dapat berinteraksi dengan penuh mesra dan kasih sayang.

Seperti mana disebut dalam Surah al Hujurat, ayat 13, yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).

Allah SWT turut menegaskan di dalam Surah Ar-Rum, ayat 22, yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda bagi orang yang mengetahui.”

Allah membuat analogi penciptaan bahasa dan warna kulit yang berbeza itu supaya manusia dapat memikirkan mengenai kekuasaan-Nya.

Tiada yang mustahil bagi Allah untuk menciptakan segala-galanya. Sedangkan bumi dan langit seluas ini Allah mampu cipta, apatah lagi kejadian manusia yang mempunyai perbezaan warna kulit, bahasa dan pertuturan itu.

Bagaimana manusia dapat berinteraksi walaupun ada halangan dari sudut kepelbagaian bahasa itu? Bukankah lebih baik Allah mencipta satu bahasa saja dan manusia boleh berinteraksi dengan mudah dengan satu bahasa yang sama?

Begitu juga kenapa Allah SWT ciptakan manusia dengan berbeza warna kulit? Semua itu membuktikan tanda kekuasaan Allah.

Manusia diajar supaya menerima semua ciptaan Allah dengan penuh ketaatan. Tidak ada warna kulit yang lebih baik atau lebih mulia berbanding dengan yang lain.

Manusia juga diajar memahami bahasa yang berbeza bagi membolehkan mereka berinteraksi. Interaksi sesama manusia hendaklah dijalinkan dengan penuh keikhlasan dan berdasarkan kepada prinsip bersangka baik selain elakkan daripada bersikap buruk sangka.

Rasa saling hormat menghormati antara satu sama lain itu adalah sebahagian daripada etika perhubungan. Terimalah kepelbagaian yang wujud sebagai tanda ketaatan kita kepada Allah SWT.

Penulis Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Profesor di Universiti Putra Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 September 2018 @ 12:52 PM