FOTO hiasan. FOTO Amir Irsyad Omar
Abdul Rahman Tajudin
am@hmetro.com.my

Memiliki minda tajam sangat diidamkan oleh sesiapa saja. Allah SWT menganugerahkan otak kepada manusia dengan tahap pemikiran dan kemahiran yang tinggi melalui pembelajaran sepanjang hayat.

Antara pembelajaran yang cukup berkesan adalah melalui pembacaan dan kajian mendalam terhadap kitab.

Minda adalah medan ilmu dan maklumat untuk memanfaatkan segala sumber yang ada bagi pembentukan tamadun.

Melalui pembacaan, pelbagai maklumat dapat diperoleh. Segala kajian, pengalaman serta fikrah seseorang mampu didapati kerana direkodkan melalui tekstual iaitu buku.

Membaca bahan yang mengandungi kajian ilmiah mampu menyingkatkan masa seseorang untuk meneroka ilmu secara eksperimental.

Ini kerana hasil penyelidikan atau penemuan baru daripada penyelidikan mudah didapati dan digarap daripada karya berilmiah berimpak tinggi.

Membaca juga adalah suruhan pertama di dalam al-Quran. Ia  menandakan perkara pertama sekali dibaca dan dikaji adalah al-Quran.

Al-Quran adalah kalamullah iaitu kata-kata Allah yang mengandungi semua ilmu di atas muka bumi ini.

Al-Quran juga adalah khazanah yang tidak ternilai kerana ia mengandungi prinsip, hukum-hakam, sejarah, ilmu politik, ekonomi, sosial dan ketamadunan yang sangat berguna kepada manusia.

Melalui kajian dan bacaan mendalam terhadap al-Quran, lahirlah karya seperti Feqh al-Akbar  Imam Hanafi, kitab Muwatta’ Imam Malik, kitab al-Risalah Imam Syafie serta kitab Musnad Imam Hanbali yang membentuk jalur syariat terpimpin.

Melalui kupasan mendalam terhadap al-Quran, terhasil juga kitab al-Ibanah Imam al-Asyairah, kitab al-Tamhid Imam al-Baqilani, kitab al-Irsyad Imam al-Juwayni dan kitab Ummul Barahin Imam al-Sanusi yang membentuk jalur akidah mutlak.

Selain itu, tertulislah kitab al-Rasail Imam al-Junayd al-Baghdadi, Ihya’ Ulumuddin Imam al-Ghazali, Futuhul Ghaib Imam al-Jaylani serta al-Rasail Imam Naqsyabandi yang membentuk landasan bersyariat untuk menyucikan jiwa insan.

Bukan itu saja, penyelidikan mendalam terhadap al-Quran turut menjadikan tamadun Islam cukup gemilang dalam bidang sains, politik dan ekonomi dengan penghasilan kitab seperti Jawamik al-Fikriyyah Filosofi al-Kindi, Qanun Fit Tib Ibn Sina, Kitab al-Hawi Kimiawi al-Razi dan kitab al-Muqaddimah Ilmuwan al-Khaldun.

Sehubungan itu, setiap orang Islam perlu ‘menghadam’ ilmu daripada kitab seumpama itu kerana ia bersumberkan al-Quran.

Melalui pembacaan karya besar itu juga akan membentuk pemikiran bermanhajkan ulama warisan nabi.

Bagaimanapun, pembacaan kitab ulama besar dan karya ilmuwan dunia itu perlu dikupas dan diteliti dengan lebih mendalam oleh pakar, pembahas atau pensyarah dalam bidangnya supaya maksud sebenar dapat difahami dengan baik.

Setiap Muslim perlu sentiasa melihat masa silam untuk mengemudi masa hadapan dengan lebih baik.

Maka, melalui pembacaan kitab karya ulama  dan ilmuwan itu, kita dapat mengilhamkan harapan serta menggapai masa hadapan.

Pembacaan itu juga mampu memantapkan lagi kehidupan manusia di dunia demi mencapai kebaikan dan kenikmatan di akhirat kelak.

Penulis Felo Kanan Institut Kajian Islam dan Strategik (ISSI) Pusat Anti Naratif Untuk Menangani Ekstremisme (CONCAVE)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 12:06 PM