FOTO hiasan. FOTO Eizairi Shamsudin
Qira’ah Fatwa

Bagaimana khabar bayi yang meninggal dunia? Benarkah dia mengingati ibu bapa dan saudaranya di dunia? Benarkah anak itu menghuni syurga dan diasuh Nabi Ibrahim?

Dalam satu peristiwa, Rasulullah SAW dibawa malaikat untuk melihat suasana di dalam syurga.

Antara yang Baginda lihat ialah seorang lelaki tinggi dikelilingi kanak-kanak.

Malaikat menerangkan kepada Nabi, maksudnya: Adapun lelaki yang tinggi itu di dalam Raudhah ialah Nabi Ibrahim dan disekeliling baginda itu ialah wildan (anak yang mati pada waktu kecil).

Maka, semua yang dilahirkan pada waktu kecil mati di atas fitrah iaitu Islam dan dimasukkan ke dalam syurga. (Hadis riwayat al-Bukhari - 7047)

Hadis itu menunjukkan anak yang meninggal dunia pada waktu kecil adalah dalam penjagaan Nabi Ibrahim AS di dalam syurga.

Anak kecil itu mengingati ibu bapanya dan akan memberikan syafaat kepada ibu bapa mereka dengan izin Allah.

Daripada Abu Hassan RA, maksudnya: “Aku bertanya kepada Abu Hurairah keadaan dua anak kecilku yang sudah meninggal dunia: ‘Boleh tidak engkau menyampaikan kepadaku satu hadis daripada Rasulullah SAW yang boleh memujuk jiwa-jiwa kami kerana kematian ini?’

Jawab Abu Hurairah: “Boleh, anak-anak mereka ialah Da’amis Syurga. Salah seorang daripada mereka menemui ayah mereka atau ibu bapa, lalu menarik bajunya atau menarik tangannya seperti aku menarik hujung jahitan bajumu ini. Anak itu tidak akan melepaskannya sehingga Allah memasukkan ibu bapanya ke dalam syurga.’” (Hadis riwayat Imam Muslim - 2435)

Berkata Imam al-Nawawi Rahimahullah: “Da’amis itu bererti ahli syurga yang kecil, asalnya ialah du’mus yang bermaksud haiwan-haiwan kecil yang berada di dalam air. Mereka tidak berpisah dengannya. Maksudnya, anak-anak kecil di dalam syurga tidak berpisah darinya.” (Rujuk kitab Syarh Muslim - 16/182)

Berkata Ibn al-Athir Rahimahullah: “Mereka itu bebas bergerak di dalam syurga, masuk ke dalam rumah-rumahnya, tiada apa yang menghalang mereka daripada suatu tempat seperti perangai kanak-kanak ketika di dunia, tiada siapa yang boleh menghalang mereka memasuki haram (iaitu kawasan peribadi satu-satu keluarga), tiada siapa yang perlu berhijab apabila dengan mereka.” (Rujuk kitab al-Nihayah fi Gharib al-Hadis wa al-Athar - 2/289)

Sumber: Al-Kafi Li Al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 September 2018 @ 10:33 AM