FOTO hiasan. FOTO Eizairi Shamsudin
Kembara Mukmin

Agama yang dibawa junjungan besar Nabi Muhammad SAW sangat seimbang dan memudahkan umatnya.

Dari sudut ibadat solat contohnya, apabila seseorang tidak mampu melaksanakannya secara berdiri kerana keuzuran, dia boleh solat secara duduk.

Sebenarnya tiada alasan untuk meninggalkan ibadat yang menjadi tiang agama itu melainkan dia seorang yang pemalas dan hanya mendahului tuntutan nafsunya.

Jika diperhatikan kepada waktu solat yang ditetapkan sebanyak lima kali sehari semalam, kebetulan waktu itu sama dengan masa lapang dan santai kebanyakan orang.

Pada awal pagi, ketika ramai yang sedang lena, umat Islam perlu bangun untuk menunaikan solat Subuh. Begitu juga pada waktu tengah hari, ketika sibuk melaksanakan tugasan harian atau sedang berehat, umat Islam perlu berhenti seketika bagi melaksanakan solat Zuhur.

Sekiranya diteliti, waktu solat itu sebenarnya memberi panduan pengendalian hawa nafsu buat umat Islam. Apabila seseorang itu didorong nafsu malas, solat itu akan dirasakan begitu berat dan panjang untuk dilaksanakan.

Bukan kerana tiada kekuatan fizikal untuk melaksanakannya tetapi semua itu berpunca daripada kegagalan manusia mengawal dan mengendalikan hawa nafsu.

Islam adalah agama yang syariatnya disesuaikan dengan kemampuan umatnya.

Bahkan, ketika Allah SWT menimpakan ujian kepada hamba-hamba-Nya, ia turut disesuaikan dengan kesanggupan serta kemampuan masing-masing. Dalam hal itu, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Allah tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya. Dia mendapat (pahala) daripada (kebaikan) yang dilakukannya. (Mereka berdoa), “Ya Tuhan kami, janganlah engkau hukum kami jika kami lupa atau kami melakukan kesalahan.

“Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebani kami dengan beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami pikulnya. Maafkanlah kami, ampunilah kami dan rahmatilah kami. Engkaulah pelindung kami, maka tolonglah kami menghadapi orang-orang kafir.” (Surah al-Baqarah, ayat 286)

Sehubungan itu, setiap mukmin yang menerima sesuatu musibah, perkara yang menyempitkan hati atau tidak disukainya, ia perlu sentiasa bersabar.

Nabi Muhammad SAW pernah menyatakan sekiranya umat Islam menghadapi kehidupannya penuh sabar dan syukur, mereka seolah-olah mengamalkan serta menyempurnakan seluruh ajaran Islam.

Islam turut ‘menawarkan’ kaedah penyelesaian terbaik buat umatnya yang melakukan sebarang perilaku maksiat dan dosa iaitu dengan bertaubat dan kembali mentaati Allah SWT.

Alangkah indah dan bahagianya apabila setiap umat Islam menjalankan sepenuhnya tanggungjawab yang diamanahkan di dunia ini.

Sebagai seorang pemimpin, dia perlu sentiasa berlaku adil dalam segala hal berkaitan hal kepemimpinannya.

Bagi umat Islam yang dikurniakan Allah SWT dengan kekayaan harta, mereka perlu bertanggungjawab menafkahkan sebahagian hartanya itu ke jalan Allah.

Orang berilmu pula tidak boleh menggunakan ilmu yang diperoleh untuk diri sendiri saja, namun perlu menyampaikan kebaikan ilmu itu kepada orang lain sehingga ia menjadi salah satu jariah yang ganjaran pahalanya akan terus mengalir.

Buat golongan yang diuji Allah SWT dengan kemiskinan, mereka perlu meningkatkan kesabarannya bagi meraih pahala Allah SWT.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 11:31 AM