FOTO hiasan. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Fatimah Syarha Mohd Noordin

Jika berurusan dengan seseorang, mana lebih diingati, cantik wajahnya atau baik budi pekertinya?

Jika diberi pilihan untuk memilih teman rapat, orang bagaimana menjadi pilihan kita?

Katakan kita cuma ada dua pilihan, seorang yang rupanya tidak seberapa namun budi pekertinya sungguh baik, bersopan-santun dan suka menolong orang lain manakala seorang lagi rupa parasnya elok namun kelakuannya kasar dan kata-katanya menghiris hati.

Tentu sekali kita berasa senang berdamping dengan orang yang berbudi pekerti mulia.

Usah menanti orang sebegitu hadir kerana kita perlu berusaha menjadi orang berbudi pekerti supaya dapat menyebarkan kebahagiaan kepada orang lain.

Seorang mukmin yang hebat tidak hanya taat melaksanakan ibadat wajib saja, malah turut menjaga hubungan sesama manusia.

Bukankah Rasulullah SAW diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak? Allah SWT menjanjikan ganjaran besar kepada orang yang berakhlak mulia.

Ganjaran yang diperoleh adalah terlepas daripada azab api neraka, bahkan api neraka tidak akan menyentuhnya sedikitpun.

Abdullah bin Mas’ud RA berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Mahukah kalian aku khabarkan mengenai orang-orang yang tidak akan disentuh api neraka? Iaitu setiap Muslim yang (qaribin) dekat (dengan kaum mukminin), (hayyin) tenang dan (sahlin) mudah (lembut akhlak dan sifatnya).” (Riwayat al-Tirmidzi dalam as-Sunan no 2488. Al-Tirmidzi berkata: “Hasanun gharib,” dan hadis itu dinyatakan sahih oleh Syaikh al-Albani)

Terdapat tiga ciri-ciri mukmin yang disebutkan dalam hadis berkenaan iaitu qaribin, hayyin dan sahlin.

Qaribin bermaksud dekat dengan manusia serta mudah bergaul. Kita mungkin pernah menghadiri majlis di mana kita berasa agak janggal kerana tidak bertemu seorang pun yang kita kenal.

Tiba-tiba datang seorang menyapa seakan-akan dia begitu akrab dengan kita. Pastinya kita akan mengenang kebaikannya itu.

Itulah contoh orang yang mempunyai sifat qaribin. Dia menyantuni semua orang dengan akrab atas nama kemanusiaan.

Semoga kita diberikan kemudahan oleh Allah SWT untuk memiliki sifat itu.

Hayyin pula bermaksud rendah hati. Rasulullah SAW sebagai seorang pemimpin angkatan perang menunjukkan sikap rendah hatinya.

Dalam sebuah hadis diriwayatkan Imam Bukhari, Ubaidullah bin Abu Rafi’ berkata: “Aku mendengar Ali berkata, Rasulullah SAW mengutusku, Zubair dan Miqdad.

“Baginda berpesan, berangkatlah kalian hingga kalian sampai ke Raudhah Khakh sebab di sana ada seorang wanita penunggang unta yang membawa surat, rebutlah surat itu.”

Ubaidullah bin Rafi’ berkata selanjutnya: “Kami pun berangkat dan kuda kami tunggang selaju-lajunya hingga tiba di Raudhah Khakh.

“Di sana, ada seorang wanita menunggang unta. Kami katakan kepadanya, “Tolong keluarkan suratmu!”

“Aku tidak membawa surat,” nafi wanita itu. Maka terpaksa kami katakan, “Kamu harus keluarkan surat itu  atau kami yang akan menelanjangi pakaianmu!” kata Ubaidullah.

Maka, wanita itu akhirnya mengeluarkan suratnya daripada gelung rambutnya dan surat itu kami bawa kepada Rasulullah SAW.

Ternyata surat itu daripada Hatib bin Abi Balta’ah Al-Anshari untuk beberapa orang musyrik Makkah yang memberitahu mereka beberapa strategi akan Rasulullah SAW lakukan.

Ada dalam kalangan sahabat sudah bersedia menebas leher Hatib kerana perbuatan itu kerana ia satu tindakan khianat.

Membocorkan strategi perang, apatah lagi rahsia Rasulullah SAW dianggap perbuatan yang tidak boleh dimaafkan.

Namun, Rasulullah SAW tidak hanya mendengar cakap-cakap orang. Baginda sendiri bertanya kepada Hatib bin Abi Balta’ah: “Wahai Hatib, apa maksudmu menulis surat seperti ini?”

Hathib berkata, “Wahai Rasulullah SAW, jangan engkau terburu-buru menghukumku, aku adalah seseorang yang dulu terdampar di Quraisy, (lantas ia jelaskan, dia (orang yang dikirimkan surat itu) adalah sekutunya, namun bukan berasal daripada cucu keturunannya).

Orang-orang Muhajirin bersamamu mempunyai ramai kerabat yang menjaga keluarga dan harta mereka, maka aku juga mahu, (disebabkan) aku tidak mempunyai nasab, aku cari pelindung di sisi mereka sehingga menjaga keakrabanku (andai Hatib menjadi tawanan perang pihak musuh, dia berharap ada penduduk Makkah yang sudi membelanya).

Aku lakukan bukan kerana aku murtad daripada agamaku, bukan pula bererti aku reda terhadap kekafiran setelah keIslaman.”

Rasulullah SAW berkata: “Hatib memang jujur kepada kalian.” Namun Umar menyampaikan sikap kerasnya, “Wahai Rasulullah, biarkan aku memenggal leher si munafik ini.”

Rasulullah mencegahnya lalu berkata, “Dia, Hatib, ikut Perang Badar. Tahukah engkau, boleh jadi Allah memerhatikan ahli Badr, lalu berfirman, “Berbuatlah ikut kehendak kalian, Aku memberi ampunan untuk kalian.” (Riwayat Bukhari)

Dalam riwayat Muslim, disebutkan Umar kembali kepada Rasulullah SAW. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Dia jujur janganlah kalian katakan sesuatu mengenai dia kecuali kebaikan.”

Kemudian Umar berkata, “Wahai Rasulullah dia mengkhianati Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang Mukmin, biarkan saya tebas lehernya.”

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bukankah dia termasuk orang yang ikut Perang Badar? Siapa tahu Allah memerhatikan semua pengikut Perang Badar, lalu berfirman, “Lakukan yang kalian suka, Aku menjanjikan kepada kalian syurga.”

Lantas Umar menangis dan berkata, “Allah dan rasul-Nya yang lebih tahu.”

Rasulullah SAW memberi contoh sikap hayyin ketika menghakimi sahabat yang dilaporkan melakukan khianat itu dan Baginda tidak menghukum sembarangan.

Baginda mendengar alasan di sebalik apa yang terjadi. Rasulullah SAW memaafkan kesalahan Hathib.

Dia bukan bermaksud untuk khianat cuma bimbang nasibnya di Makkah nanti. Sikap Rasulullah SAW yang tidak mudah menghakimi itu perlu kita contohi.

Sahlin pula bermaksud mudah bermualamat iaitu memudahkan urusan orang lain.

Contohnya, ketika kita sedang memandu untuk keluar dari simpang, ditambah jalan raya yang sedang sesak, tiba-tiba ada sebuah kereta memberi laluan  kepada kita.

Tentu sekali kita berasa lega dan berterima kasih kepada individu itu kerana memudahkan urusan kita.

Al-Mawardi menerangkan hadis yang menggambarkan penanda akhlak baik yang boleh menempatkan pelakunya ke dalam syurga serta melindunginya daripada api neraka.

Akhlak baik itu dapat dilihat daripada seseorang yang mudah berkawan, bergaul dengan lembut, murah senyuman, tidak mudah marah serta baik bicaranya.

Sejahat manapun seseorang, pasti dia suka jika dilayan dengan baik.

Dalam hal ini, Nabi Muhammad SAW mempamerkan banyak akhlak mulia untuk dicontohi umat Islam.

Penulis pendakwah dan penulis buku

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 September 2018 @ 12:01 AM