FOTO hiasan. FOTO Syamsi Suhaimi
Hilmi Isa

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan di sisi Allahlah kunci-kunci semua yang ghaib, tidak ada yang mengetahuinya selain Dialah Allah sendiri dan Dia mengetahui apapun yang ada di daratan dan Dia mengetahui apapun yang ada di lautan dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dialah Allah mengetahuinya pula, dan tidak jatuh sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak ada satu pun yang basah dan tak ada satu pun yang kering melainkan semua tertulis di luh mahfuz, kitab yang nyata.” (Surah al-An’am, ayat 59)

Dalam kehidupan ini, setiap orang mempunyai keinginan. Ada orang inginkan jodoh yang baik, kejayaan dalam kerjaya dan juga perniagaan.

Ada juga mengharapkan dikurniakan kesembuhan daripada penyakit dan keluar daripada masalah kewangan.

Walaupun setiap orang berusaha mencapai keinginan dalam hidup, tidak semua berjaya mencapai keinginannya.

Ada orang selepas banyak kali berusaha barulah berjaya memperoleh keinginan yang mereka mahukan.

Perhatikan sejarah usahawan hebat yang banyak memberi sumbangan besar kepada kehidupan manusia sejagat.

Kebanyakan mereka tidak berjaya pada percubaan awal. Hanya selepas banyak kali mencuba, barulah kejayaan menjelma.

Apabila belum mencapai apa yang kita inginkan dalam hidup, bersangka baiklah kepada Allah.

Dia Maha Mengetahui perkara yang terbaik untuk diri kita. Akal manusia terhad untuk ‘membaca’ masa hadapan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “…dan berdoalah kepada-Nya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan harapan (akan dikabulkan). Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik.” (Surah al-A’raf, ayat 56)

Ramai orang kecewa apabila cinta berakhir separuh jalan. Ramai juga orang kecewa kerana mereka tidak bertemu dengan cinta sejati.

Apa yang kita tidak tahu, banyak kemungkinan buruk boleh berlaku. Boleh jadi jika bertemu jodoh, jiwa kita menderita, menjadi mangsa keganasan rumah tangga atau suami mengabaikan nafkah terhadap isteri.

Boleh jadi Allah SWT menangguhkan hajat kita untuk mendengar lebih banyak rintihan dan doa.

Dia ingin kita meneliti kesempurnaan ibadat. Banyakkan lagi solat hajat, solat tahajud serta perbaiki setiap aspek keperibadian kita.

Barangkali Allah menangguhkan hajat kita kerana ia hanya membawa kebaikan di dunia tetapi kecelakaan di akhirat.

Penulis pernah berjumpa dengan seorang rakyat Malaysia bekerja di negara jiran yang bergaji lumayan.

Malangnya, dia bekerja sebagai pencuci pinggan yang bergelumang dengan daging khinzir.

Sehubungan itu, apabila hajat belum kesampaian, usah berputus asa.

Mohon pada Allah ditunjukkan jalan yang benar untuk mencapainya.

Yakinlah Allah menangguhkan hajat kita untuk Dia berikan perkara yang lebih baik.

Allah SWT berfirman bermaksud: “Bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi dan demi sesungguhnya, Kami perintahkan orang-orang yang diberi kitab dahulu daripada kamu dan juga (perintahkan) kamu iaitu hendaklah bertakwa kepada Allah dan jika kamu kufur ingkar, maka sesungguhnya Allah jualah yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.” (Surah an-Nisaa’, ayat 131)

Penulis Perunding Psikologi Bahasa

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Ogos 2018 @ 5:12 PM