FOTO hiasan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Sedetik Rasa

Menunaikan zakat termasuk salah satu rukun Islam. Ia asas yang wajib dilaksanakan tanpa sebarang alasan.

Pelaksanaannya adalah tanggungjawab yang akan membawa keberkatan berterusan bukan saja kepada pembayar, malah golongan yang menerimanya.

Di dalam buku fiqah, harta yang wajib dizakat terdiri daripada dua jenis iaitu zakat harta dan zakat fitrah.

Mungkin ramai dalam kalangan umat Islam hanya merasakan mereka dianggap sudah ‘sempurna’ berzakat selepas membayar zakat fitrah setiap kali bulan Ramadan.

Zakat harta juga perlu dikeluarkan sekiranya memenuhi kadar yang ditetapkan syarat. Ia bertujuan mengurangkan jurang pendapatan tidak seimbang antara golongan kaya dan miskin selain dapat memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Harta yang wajib dikenakan zakat terdiri daripada harta yang penting dalam sektor ekonomi antaranya zakat tanaman dan pertanian.

Imam Syafie dan Imam Malik berpendapat, hasil tanaman dikenakan zakat hendaklah daripada jenis yang mengenyangkan serta tahan lama apabila disimpan.

Di Malaysia ialah zakat padi dan kadarnya ialah 1/10 jika ia menggunakan air hujan atau air sungai dan 1/20 jika diusahakan sendiri atau menggunakan alat penyiram. Zakatnya perlu dilunaskan selepas padi dituai.

Selain itu, zakat harta lain yang perlu dikeluarkan zakat ialah emas dan perak. Sekiranya emas dan perak itu dikumpul untuk menjadi harta kekayaan, ia wajib dikeluarkan zakat kerana ia sudah keluar daripada tujuan asalnya iaitu perhiasan kepada barang simpanan.

Kadar zakat yang dikenakan ialah 2.5 peratus daripada nilai emas dan perak yang cukup syaratnya.

Kadar nisab bagi emas ialah 20 misqal iaitu bersamaan 85 gram emas manakala nisab bagi perak pula 200 dirham iaitu 595 gram perak.

Wanita yang memakai emas dan perak tidak melebihi uruf had sebagai hiasan tidak dikenakan zakat kerana dikategorikan sebagai perhiasan.

Begitu juga dengan binatang ternakan seperti lembu, kerbau, kambing atau biri-biri turut dikenakan zakat sekiranya sempurna syaratnya.

Syarat zakat bagi binatang ternakan itu ialah cukup nisab (mengikut bilangan ekor), tidak digunakan sebagai modal bagi mengeluarkan hasil dan boleh membiak sendiri tanpa usaha berat atau mengeluarkan modal.

Seterusnya, umat Islam perlu memastikan wang simpanan, saham, pendapatan, perniagaan serta wang simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilunaskan zakatnya apabila cukup haul (cukup tempoh setahun) dan nisabnya (ketetapan minimum bagi harta yang boleh dikenakan zakat).

Zakat wang simpanan ialah zakat daripada simpanan di bank sama ada dalam bentuk akaun simpanan, semasa dan tetap.

Wang simpanan itu perlu dicampurkan dengan wang tunai di tangan dan dikeluarkan zakat apabila cukup nisab dan haul dengan kadar 2.5 peratus.

Untuk zakat pendapatan atau gaji yang wajib dibayar boleh menggunakan dua kaedah iaitu kaedah pendapatan kasar daripada semua sumber pendapatan selama setahun dan kaedah pendapatan bersih selepas ditolak perbelanjaan asasi hidup dengan kadar zakatnya 2.5 peratus daripada jumlah pendapatan.

Zakat perniagaan pula ialah zakat yang wajib dikeluarkan hasil harta perniagaan seperti perkhidmatan, perikanan, pembuatan, pembekalan, pertanian, perlombongan dan sebagainya sama ada perniagaan sendiri, perkongsian sesama Islam atau bukan Islam, perniagaan semua jenis syarikat dan koperasi dengan kadar 2.5 peratus ke atas jumlah modal dicampurkan dengan keuntungan atau jumlah nilai aset bersih perniagaan.

Bagi wang zakat KWSP, terdapat tiga cara pengiraan boleh dilakukan iaitu zakat hanya wajib dikeluarkan pada hari wang caruman diterima ketika bersara kelak atau mengeluarkan sebahagian daripadanya dengan kadar 2.5 peratus.

Kedua, zakat dikenakan apabila ia cukup nisab dan haul (caruman pekerja tidak termasuk caruman majikan). Zakat dikira setiap tahun apabila cukup syaratnya walaupun wang itu masih di dalam akaun KWSP.

Ketiga, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kali ke-5 yang bersidang pada 16-17 November 1982 memutuskan wang KWSP bagi pekerja Islam wajib dikeluarkan zakat apabila cukup haulnya iaitu setahun selepas penerimaannya berdasarkan mazhab Syafie.

Hakikatnya, mengeluarkan zakat juga adalah satu bentuk ujian bagi menguji keimanan dan ketakwaan seseorang kepada Allah SWT.

Memang amat sukar dan berat untuk berpisah dengan harta, apatah lagi kita membayar sesuatu yang belum dapat dilihat ganjarannya.

Hanya mereka yang benar-benar beriman dan bertakwa saja akan pasti mengeluarkan zakat dengan penuh keikhlasan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Ogos 2018 @ 11:38 AM