FOTO hiasan. FOTO Nik Hariff Hassan
Qira’ah Fatwa

Apakah hukum makan daging ayam yang sudah dimasak tapi masih ada kesan darah pada urat, daging dan tulangnya?

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai atau darah yang mengalir atau daging babi - kerana sesungguhnya ia adalah kotor - atau sesuatu yang dilakukan secara fasik iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain daripada Allah.’ Kemudian sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.’” (Surah al-An’am, ayat 145)

Imam Ibn Jarir al-Tabari dalam tafsirnya menyebut bahawa: “Allah yang Maha Terpuji memberitahu syarat darah yang diharamkan itu adalah darah yang mengalir dan bukan darah yang lain daripada itu. Ini adalah dalil yang jelas bahawa darah yang tidak mengalir adalah halal dan bukan najis.”

Imam al-Baghawi pula berkata dalam Tafsirnya Ma’alim al-Tanzil: “Daman masfuhan bermaksud darah yang mengalir dan mencurah.”

Berkata Ibn Abbas, “Allah maksudkan ialah darah yang keluar daripada haiwan iaitu haiwan yang hidup, memiliki roh dan keluar daripada urat ketika penyembelihan, tidak termasuk hati dan limpa kerana kedua-duanya darah beku (tidak mengalir) dan datang dalam Syara’ akan halalnya kedua-dua organ itu.

“Tidak haram juga daging yang bercampur dengan darah kerana ia tidak mengalir.”

Berkata Imran bin Hudair: “Aku bertanya Abu Mijlaz mengenai daging yang bercampur dengan darah atau dalam periuk yang terdapat dalamnya merah-merah darah?”

Maka dia jawab, “Tidak mengapa, darah yang diharamkan hanyalah darah yang mengalir.”

Berkata Ibrahim: “Tiada mengapa darah yang berada pada urat dan otak melainkan darah yang mengalir yang disengajakan.”

Berkata Ikrimah: “Jikalau tidak kerana adanya ayat ini, nescaya orang Islam akan mencari-cari darah pada urat (bersusah-susah untuk buang) kerana mengikut amalan Yahudi.”

Di sisi ulama mazhab al-Syafii, terdapat dua pendapat iaitu:

l

Suci

Ini adalah pendapat Imam al-Nawawi seperti yang diputuskan daripada kalam beliau dalam al-Majmu’. Itu juga sependapat dengan Imam al-Subki.

l

Najis tetapi dimaafkan

Dimaafkan jika dimakan dan hukumnya adalah halal. Tetapi jika bercampur dengan suatu yang asing seperti dijirus air, maka darah yang terdapat pada daging itu tidak lagi murni, maka hukumnya najis yang tidak dimaafkan.

Itulah yang muktamad dalam mazhab. Jika dihidangkan lauk daging yang tidak dipastikan bercampur darah atau tidak kerana tidak nampak dan sebagainya, maka kekal hukumnya suci. (Rujuk I’anah al-Thalibin - 1/100)

Sehubungan itu, kami cenderung kepada pendapat ia adalah suci mengikut pendapat Imam al-Nawawi dan Imam al-Subki.

Ini kerana yang diharamkan berdasarkan mafhum nas adalah darah yang mengalir ketika hidup atau ketika sembelih. Selepas mati, darah pada daging itu tidak mengalir, justeru, hukumnya adalah halal.

Begitu juga sukarnya untuk menjaga diri daripada darah yang terdapat pada daging dan tulang sama ada dijirus dengan air atau tidak bagi orang yang memasak, pelapah dan penyembelih.

Justeru, darah pada daging, urat dan tulang ayam yang sudah dimasak adalah halal dan suci. Dari aspek kesihatan pula, jika doktor melarangnya kerana mudarat seperti penyakit, maka haram atau makruh memakannya mengikut kadar mudarat.

Sumber: Al-Kafi Li Al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Ogos 2018 @ 11:56 AM