FOTO hiasan.
AL-FIQH

Apa perbezaan antara haid, istihadah dan nifas?

Haid ialah darah yang keluar daripada rahim seorang wanita pada waktu tertentu dan pada jangka tertentu. Manakala istihadah ialah darah penyakit yang keluar melalui saluran berhampiran dengan rahim.

Saluran itu disebut sebagai ‘aazil’. Ia keluar mengiringi kesan haid atau selepas habis tempoh haid. Manakala nifas pula ialah darah yang keluar daripada rahim wanita selepas keluarnya kandungan di dalam rahim sama ada melalui kelahiran biasa atau keguguran.

Adakah meninggalkan solat ketika kedatangan haid juga diberikan pahala?

Apabila seseorang wanita kedatangan haid yang terpaksa meninggalkan solat dengan niat dan qasad semata-mata kerana mematuhi perintah syarak (yang melarang perempuan yang haid mengerjakan solat), maka dia diberi ganjaran pahala.

Tetapi jika tidak ada apa-apa niat, maka dia tidak diberi pahala dan dia tidak juga dikira berdosa.

Adakah dinamakan darah haid jika kebiasaan seorang wanita keluar darah tidak sampai sehari semalam?

Jika seseorang wanita mendapati darah yang keluar (daripada kemaluannya) itu tidak sampai sehari semalam pada setiap bulan dan itu menjadi kebiasaan baginya, maka itu tidak dinamakan darah haid.

Dia tidak boleh dikategorikan dalam hukum haid kerana apa yang ditetapkan al-Imam Syafii itu adalah sudah sempurna bahkan ia dinamakan sebagai darah penyakit (istihadah).

Adakah masih dikira haram ke atas seorang wanita yang kedatangan haid duduk dan berhenti di dalam masjid? Bagaimana pula jika bangunan itu sebuah madrasah dan tempat belajar agama?

Hukumnya tetap haram ke atas wanita yang dalam keadaan haid masuk masjid walaupun dia berkeyakinan darahnya tidak menitis ke lantai masjid.

Berlainan pula dengan bangunan madrasah atau tempat pengajian agama, tidak haram baginya kecuali apabila dia yakin akan mengotorkan tempat itu dengan darah haidnya, itu adalah haram.

Wanita yang mengandung tiba-tiba keguguran. Apabila berlaku keguguran itu, adakah berlaku nifas dan diharamkan baginya bersolat, puasa dan melakukan hubungan atau segala mukadimahnya?

Apabila berlaku keguguran, ia dianggap sebagai darah nifas jika dia mendapati ada darah yang keluar selepas keguguran dalam tempoh 15 hari dari tarikh keguguran itu.

Jika darah itu datang 15 hari selepas keguguran, maka itu dinamakan darah haid.

Sumber: Furu’ al-Masa’il wa usul al-Wasa’il oleh Maulana al-Syeikh Daud Abdullah al-Fathani dan disusun Datuk Abu Hasan Din al-Hafiz

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Ogos 2018 @ 1:28 PM