IBADAT korban beri kesempatan kepada golongan miskin merasai nikmat seperti dirasai golongan kaya.
Fadly Samsudin

Al-Quran menceritakan asal usul kisah ibadat korban bermula sejak zaman Nabi Adam.

Kita turut ditinggalkan dengan kisah pengorbanan serta kesabaran Nabi Nuh yang berdakwah kepada kaumnya lebih 950 tahun sedangkan yang mengikuti baginda hanya beberapa orang.

Seterusnya, umat Islam perlu mengambil iktibar mengenai kisah pengorbanan agung dilakukan Nabi Ibrahim yang menjadi Rasul buat kaum Ur di Iraq sebelum berpindah ke Palestin.

Baginda berkahwin dengan Siti Sarah, kemudian berkahwin pula dengan Siti Hajar. Baginda hanya dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Nabi Ismail pada usia baginda 89 tahun.

Bayangkan, selepas menunggu sekian lama untuk mendapatkan zuriat, Allah SWT menguji baginda dengan memerintahkannya melaksanakan korban dengan menyembelih sendiri anak yang amat disayangi itu.

Ketika melaksanakan perintah itu, baginda meletakkan pisau ke leher Nabi Ismail sambil memejamkan matanya kerana tidak sanggup melihat keadaan itu.

Bagaimanapun, tiba-tiba Nabi Ismail digantikan dengan seekor kambing. Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sangat bersyukur atas rahmat Allah itu.

Jelas kepada kita, iktibar yang Allah mahu kita hayati daripada kisah pengorbanan itu adalah Allah akan menguji hamba-Nya pada kelemahan yang ada dalam diri mereka.

Berbalik semula kepada kisah korban pertama iaitu anak Nabi Adam, Qabil dan Habil yang diperintahkan mempersembahkan korban kepada Allah.

Nabi Adam diturunkan ke bumi oleh Allah dan takdirkan Hawa menjadi isterinya yang diciptakan dari tulang rusuk kiri baginda.

Apabila diturunkan ke bumi, dengan takdir Allah lahir dua pasang anak kembar. Allah mengarahkan Qabil berkahwin dengan kembar Habil, manakala Habil berkahwin pula dengan kembar Qabil.

Bagaimanapun, Qabil tidak dapat menerima perkara itu dan mengatakan dia berhak berkahwin dengan kembarnya.

Ada riwayat menyatakan, Qabil dan kembarnya dikandungkan di syurga dengan memiliki rupa paras yang tampan dan cantik.

Nabi Adam kemudian mengadu kepada Allah. Lalu Allah berfirman, jika hendak tahu siapa yang layak mengahwini adik Qabil, maka mereka perlu mempersembahkan korban.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil) dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):

“Sesungguhnya aku akan membunuhmu!”. (Habil) menjawab: “Sesungguhnya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa.” (Surah al-Maaidah, ayat 27)

Berdasarkan ayat itu, kedua-dua adik-beradik itu meletakkan korban masing-masing. Habil memberikan korban yang terbaik kerana dia pengembala kambing.

Dia memberikan kambing paling elok dan gemuk sebagai persembahan kepada Allah. Manakala Qabil yang juga abang kepada Habil adalah petani.

Malangnya, dia memberikan hasil pertaniannya yang sudah rosak selain korban yang dilakukan atas dasar hasad dengki. Lalu Allah menurunkan api dari langit dan menyambar korban Habil sebagai isyarat korban itu diterima Allah.

Habil yang mempunyai sifat tenang sentiasa reda dan meletakkan Allah sebagai tempat dia bergantung harap.

Perkara itu diceritakan dalam ayat 28, surah al-Maidah yang bermaksud: “Demi sesungguhnya! Jika engkau hulurkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku tidak sekali-kali akan menghulurkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan Yang mentadbirkan sekalian alam.”

Habil pun berkata kepada Qabil, “Adakah berdosa aku jika Allah menerima korbanku dan menolak korbanmu?” Habil kemudian menasihati Qabil supaya tidak bertindak tergesa-gesa sehingga mempertaruhkan hawa nafsu dan ajakan syaitan.

Habil meminta Qabil mengawal perasaan serta memikirkan sedalam-dalamnya akibat perbuatannya kelak.

Bagaimanapun, sifat tidak sabar Qabil itu menyebabkan beliau akhirnya bertindak di luar kawalan sehingga membunuh adiknya itu.

Kisah yang berlaku itu jelas memberi peringatan kepada manusia supaya sentiasa bersabar dan meneguhkan keimanan kepada Allah. Bagi mereka yang benar-benar menghidupkan jiwanya kerana Allah, pasti tidak meletakkan nafsu melebihi segala-galanya.

Dalam melaksanakan ibadat kepada Allah, sudah tentu kita tidak kisah berkorban wang ringgit dan harta benda untuk mencapai tahap ketakwaan.

Antara hikmah ibadat korban yang umat Islam sambut ketika ini adalah untuk memberi kesempatan kepada golongan miskin merasai nikmat seperti dirasai golongan kaya.

Maka, ibadat korban itu dapat menyuburkan perasaan kasih sayang sesama manusia seterusnya mendekatkan diri kepada Allah.

Dengan mengalirnya darah haiwan yang dikorbankan itu, diharap terhapus sifat iri hati golongan kurang bernasib baik. Pada masa sama, ia menghilangkan sifat sombong, bongkak dan ego golongan kaya.

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada suatu amalan yang paling dicintai oleh Allah daripada Bani Adam ketika Aidiladha selain menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat sebagai saksi dengan tanduk, bulu dan kukunya. Dan sesungguhnya darah haiwan korban telah terletak di suatu tempat di sisi Allah sebelum mengalir di tanah. Kerana itu, berbahagialah dirimu dengannya.” (Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah dan al-Hakim)

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Ogos 2018 @ 12:37 PM