JADILAH hamba yang bertakwa kepada Ilahi. - Gambar hiasan
Mohd Shahrizal Nasir

Bagi mereka yang dipilih menjadi tetamu Allah di Tanah Suci, mereka melakukan pengorbanan yang cukup besar iaitu berkorban wang, tenaga serta meninggalkan keluarga di tanah air untuk menyahut seruan Ilahi.

Begitu juga bagi yang berada di tanah air, ada dalam kalangan kita dipilih Allah SWT untuk melaksanakan ibadat korban.

Inilah bukti nikmat Allah SWT yang dikurniakan kepada sekalian hamba untuk berkorban melaksanakan perintah-Nya.

Hari raya Aidiladha yang akan disambut beberapa hari lagi memang sinonim dengan ibadat korban haiwan seperti lembu dan kambing

Pensyariatan ibadat korban mempunyai kaitan dengan aspek akidah. Ia satu perintah daripada Allah SWT bagi golongan yang berkemampuan dan berkait rapat dengan takwa.

Jika dirujuk dalam kitab fiqah, istilah al-udhiyyah merujuk kepada haiwan yang disembelih dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT dan penyembelihan dilakukan pada hari raya Aidiladha iaitu 10 Zulhijjah dan pada hari Tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Apabila kita fahami tujuan melakukan ibadat korban adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, secara automatik amalan itu menolak tujuan lain seperti menunjukkan kekayaan diri atau sekadar memeriahkan suasana Aidiladha.

Firman Allah SWT pada ayat 37 dalam Surah al-Hajj menyatakan, hanya amalan korban yang ikhlas dilakukan atas dasar takwa akan diterima oleh-Nya.

Sekiranya perkara asas itu difahami dengan betul, maka amalan korban akan diterima oleh Allah SWT. Setiap amal ibadat yang dilakukan perlulah bertujuan untuk meraih keredaan Allah SWT.

Dalam melaksanakan ibadat korban, ada beberapa perkara yang perlu diambil perhatian sama ada oleh orang yang melaksanakan ibadat korban, mahupun orang yang menerima pemberian daging korban.

Perkara ini perlu diberi peringatan supaya kita tidak termasuk dalam kalangan orang yang berkorban, namun menjadi sia-sia kerana amalan itu tidak mencapai piawaian yang ditetapkan Allah SWT.

Antara perkara yang perlu diambil perhatian bagi orang yang menyembelih binatang korban ialah mengetahui berkorban menyembelih binatang itu adalah satu ibadat.

Ia bukan saja membabitkan hubungan diri dengan Allah SWT, malah hubungan sesama manusia.

Daging korban perlu dibahagikan mengikut ketetapan syarak. Maksudnya, setelah melakukan korban binatang, ada hak orang lain yang perlu ditunaikan.

Daging korban itu perlu diagihkan kepada golongan fakir miskin yang memerlukan. Sebolehnya, golongan itulah yang patut diberi keutamaan menerima daging korban.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan berikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing…” (Surah al-Israk, ayat 26)

Selain itu, ketika melakukan ibadat korban, jangan sesekali merasakan diri akan mengalami kerugian. Elakkan mengambil bahagian yang banyak daripada sembelihan korban kita sendiri, walhal ramai lagi golongan yang memerlukan daging itu.

Memang benar, binatang korban itu dibeli menggunakan duit sendiri. Namun, jika kita faham pengertian ‘korban’, maka jangan sesekali berasa rugi daripada pelaksanaannya.

Yakinlah Allah SWT akan segera memberikan ganti perbelanjaan yang dikeluarkan pada jalan-Nya. Setiap pagi, Allah SWT mengutus dua malaikat dengan yang satu berdoa: “Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang melakukan infak.” Dan yang kedua berdoa: “Ya Allah, berikanlah kehancuran bagi orang yang menahan hartanya (kedekut).” (Muttafaq ‘alaih)

Bagi golongan yang menerima daging korban pula, usah lupa mendoakan kesejahteraan bagi orang yang memberi daging korban.

Itulah antara perkara yang menzahirkan betapa kehidupan umat Islam subur dengan budaya tolong-menolong.

Umat Islam yang termasuk dalam golongan fakir miskin sentiasa dalam pembelaan Islam. Begitu juga bagi penerima daging korban dalam kalangan orang berada atau kaya.

Jangan sesekali menolak pemberian daging korban kerana sememangnya mereka layak menerima daging korban itu.

Ada kalanya disebabkan terlalu banyak penerimaan daging korban kerana ramai yang berkorban, maka akan berlaku pembaziran. Manfaatkan daging korban untuk dimakan kerana ia hasil usaha orang lain untuk mendekatkan diri mereka kepada Allah SWT.

Sekiranya tidak menerima daging korban, usah berkecil hati lantas menghamburkan kata-kata yang tidak sedap didengar.

Anggaplah segala rezeki ketentuan Allah SWT. Kita perlu memahami pengajaran di sebalik pensyariatan ibadat korban.

Daging korban bukanlah segala-galanya kerana yang utama ialah keikhlasan diri melaksanakan perintah Allah SWT.

Begitu juga bagi yang belum berkemampuan untuk menyembelih binatang korban, tanamkan azam untuk melaksanakannya pada masa akan datang dengan suntikan motivasi selepas menyaksikan orang lain menunaikan ibadat korban pada Aidiladha kali ini.

Penulis pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Ogos 2018 @ 12:48 PM