FOTO hiasan. FOTO Rosela Ismail
Qira’ah Fatwa

Apakah hukum mengambil wuduk dalam keadaan tidak berpakaian?

Dari segi bahasa, wuduk ialah nama bagi sesuatu perbuatan menggunakan air pada anggota tertentu.

Dari segi syarak pula, wuduk bermaksud membersihkan sesuatu yang tertentu dengan beberapa perbuatan yang tertentu yang dimulakan dengan niat iaitu membasuh muka, membasuh kedua-dua belah tangan, menyapu kepala dan akhirnya membasuh kedua-dua belah kaki dengan syarat dan rukun yang tertentu (rujuk al-Budur al-Tali’ah Syarh Risalah al-Jami’ah, m/s 123)

Suruhan untuk menutup aurat ketika mengambil wuduk tidak ada dinyatakan sebagai satu perkara wajib atau sunat untuk dilakukan.

Bagaimanapun, dalam bab mandi ada dinyatakan menutup aurat adalah satu daripada perkara sunat. (Rujuk kitab al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah, m/s 120)

Namun begitu, ia berlainan pada keadaan mengambil wuduk atau mandi tanpa pakaian di tempat awam. Hukumnya wajib untuk menutup aurat.

Ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki dan begitu juga wanita tidak boleh melihat aurat wanita.” (Hadis riwayat Muslim)

Dalam sebuah lagi hadis, daripada Muawiyah bin Haidah, beliau berkata, Saya bertanya: “Wahai Nabi Allah, aurat kita manakah yang harus kita tutup dan manakah yang boleh kita nampakkan?” Nabi menjawab: “Jagalah auratmu kecuali terhadap isterimu atau hamba wanitamu.”

Saya bertanya: “Jika lelaki bersama lelaki?” Nabi menjawab: “Jika engkau mampu agar auratmu tidak dilihat oleh sesiapa maka (usahakan) jangan sampai ada orang yang boleh melihatnya.” Saya bertanya: “Wahai Nabi Allah, jika berada dalam keadaan sendirian?” Nabi menjawab: “Allah lebih berhak baginya untuk malu terhadap-Nya daripada (malu) terhadap manusia.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi (no 2769)

Menurut mazhab Syafie, wajib kepada seseorang Muslim yang berada dalam keadaan bersendirian dan di tempat tertutup untuk menutup aurat.

Pandangan itu juga disokong ulama daripada kalangan Hanafi dan Hanbali manakala ulama mazhab Maliki menyatakan, sunat untuk menutup aurat ketika berada dalam keadaan bersendirian dan di tempat tertutup. (Rujuk kitab Mausuah Fiqhiyah Quwaitiyah, 24/176)

Namun begitu, dibenarkan seseorang untuk tidak menutup aurat ketika bersendirian dengan syarat perlu disertakan dengan hajat seperti mandi atau untuk menyejukkan badan. (Rujuk kitab Mughni Muhtaj, m/s 185)

Justeru, dalam keadaan tidak memakai pakaian ketika wuduk adalah sah, tetapi tidaklah dilakukan di tempat terbuka atau dilihat orang lain.

Begitu juga sepatutnya seorang Muslim hendaklah menjaga maruahnya dan tidak mendedahkan aib diri sendiri di hadapan orang lain. Walaupun sah wuduknya tetapi dia berdosa kerana mendedahkan aurat kepada orang yang haram melihatnya.

Bahkan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Malu itu sebahagian daripada Iman.” (Hadis Riwayat Bukhari - no 24)

“Allah lebih berhak baginya untuk malu terhadap-Nya daripada (malu) terhadap manusia.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi - no 2769)

Walaupun tidak dinyatakan sebagai perkara sunat atau wajib menutup aurat ketika mengambil wuduk, lebih baik dan utama untuk menutup aurat seperti yang disunatkan ketika mandi.

Sumber: Al-Kafi Li Al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Ogos 2018 @ 12:38 PM