FOTO hiasan. FOTO Zulfadhli Zulkifli.
AL-FIQH

1. Ada pendapat mengatakan tidak sah seorang qari (yang fasih membaca al-Quran) mengikut imam yang ummi iaitu orang yang sebutan bacaannya boleh merosa kkan surah al-Fatihah sehingga boleh mengubah maknanya.

Pendapat itu juga mengatakan, sekiranya imam itu membaca secara berlagu yang boleh mengubah makna surah al-Fatihah, maka makmum tidak perlu mufaraqah ketika itu sehinggalah imam rukuk sekiranya mereka tidak tahu ketika memulakan solat imamnya seorang yang ummi.

Masalah pertama itu tidak sah mengikut imam sekiranya makmum mengetahui sejak mula solat lagi imam itu seorang yang ummi atau apakah perbezaannya?

Bezanya ialah masalah yang pertama memang tidak sah mengikut di belakang imam yang diketahui makmum sejak mula lagi dia adalah seorang ummi.

Bagi masalah kedua, makmum tidak mengetahui sejak awal lagi imamnya seorang yang ummi. Oleh itu, adalah sah mengikutnya.

Namun, apabila imamnya rukuk tanpa mengulangi semula bacaan al-Fatihah yang rosak dengan bacaan yang betul, maka dengan rukuk itu batallah solatnya kerana bacaan al-Fatihahnya dikira tidak betul.

2. Seorang mengimamkan solat jahr (Subuh, Maghrib atau Isyak), tetapi dia membaca dengan suara perlahan sehingga tidak didengari sedikit pun oleh makmumnya.

Maka, timbullah syak wasangka dalam kalangan makmum sama ada imam itu seorang yang qari atau ummi. Adakah makmum perlu memeriksa keadaan imamnya terlebih dahulu (untuk mengetahui sama ada ia seorang qari atau ummi) atau tidak perlu?

Apa yang difahami, bagi solat jahr, bacaan hendaklah dibaca dengan nyaring atau boleh jadi imam terlupa. Jika makmum diharuskan untuk memeriksa untuk menentukan status imamnya, apa pula perbezaan antara perkara itu dengan masalah orang yang bersolat di belakang imam yang bermazhab Hanafi ketika mengerjakan solat sir (Zuhur atau Asar) mahupun solat jahr yang mana makmum tidak mendengar imam menyebut ‘Bismillahirrahmanirrahim’ ketika membaca surah al-Fatihah dan menganggap yang imam membacanya tetapi dengan suara perlahan, maka adakah sah kita mengikutnya dan tidak perlu dipersoal mengenainya?

Harus bagi makmum mempersoalkan mengenai keadaan imamnya sekiranya imam itu tidak memberitahu makmumnya selepas memberi salam kenapa dia membaca dengan perlahan.

Contohnya dia berkata, “Saya terlupa.” Yang jelas sekiranya dia seorang qari, sudah tentu dia membaca dengan suara yang kuat.

Adapun perbezaan di antara perkara itu dengan mengikut imam bermazhab Hanafi ialah kerana makmum memang sudah mengetahui imamnya seorang qari, cuma sekadar menghormati perbezaan pendapat mengenai hukum membaca bismillah pada awal al-Fatihah sebagai baik sangka terhadapnya.

3. Seorang makmum solat di belakang seorang imam yang kebiasaannya mengulangi solatnya sedangkan makmum itu tidak mengetahuinya sehingga imam memberi salam.

Adakah makmum juga itu diwajibkan supaya mengulangi solatnya atau tidak perlu?

Makmum berkenaan juga diwajibkan supaya mengulangi solatnya kerana tidak sah mengikutnya sejak awal lagi.

4. Apabila seseorang mendengar iqamat (untuk solat Asar), sedangkan dia mempunyai qada Zuhur. Yang mana lebih utama dia lakukan dahulu sama ada mengqada solat Zuhur dahulu walaupun luput takbiratulihram bersama imamnya bagi solat Asar atau dia dahulukan solat Asar secara berjemaah dan selepas itu barulah dia qada solat Zuhur?

Dia hendaklah mendahulukan solat qadanya kemudian barulah mengikut solat Asar berjemaah walaupun sebagai makmum masbuk.

Sekiranya tidak sempat, dia hendaklah solat Asar secara seorang diri.

Sumber: Furu’ Al-Masa’il Wa Usul Al-Wasa’il oleh Maulana Al-Syeikh Daud Abdullah Al-Fathani dan disusun Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Ogos 2018 @ 3:19 AM