FOTO hiasan. FOTO Mohd Rafi Mamat.
Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin

Islam mengiktiraf kemuliaan setiap manusia tanpa mengambil kira keturunan dan etnik kaum masing-masing.

Manusia secara fitrahnya dijadikan Allah SWT dalam kelompok yang berbeza budaya, warna kulit dan bahasa.

Kepelbagaian itu perlu diterima serta sebagai satu ketetapan. Kepelbagaian dan perbezaan itu juga wujud supaya manusia saling mengenali, memahami, membantu dan berkasih sayang demi mencapai kedamaian dan kemakmuran hidup bersama.

Itu antara tujuan utama Allah SWT mencipta manusia seperti yang dinyatakan dalam Surah al-Hujurat, ayat 13 yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”

Islam tidak menganjurkan kepada pengasingan kelompok dan konflik, apatah lagi mencetuskan kebencian.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia! bertakwalah kepada Tuhan kamu yang menjadikan kamu (bermula) daripada diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan daripada kedua-duanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawasi) kamu. (Surah an-Nisaa’, ayat 1)

Salah satu dasar Islam dalam hubungan etnik adalah adil. Ia seperti digariskan Dr Mohammd Nidzam Abdul Kadir (2017) dalam buku terbitannya berjudul Fiqah Hubungan Etnik.

Perkara itu juga dinyatakan sebelumnya oleh Prof Madya Dr Nazri Muslim dan rakan-rakan dalam artikelnya bertajuk Hubungan Etnik Di Malaysia dari Perspektif Islam yang diterbitkan dalam Jurnal Kajian Malaysia (2011).

Adil bermakna meletakkan sesuatu pada tempatnya yang betul manakala lawannya adalah zalim.

Melaksanakan keadilan bermakna menutup kezaliman.

Keadilan dalam Islam bersifat Rabbani. Ia bukti manusia menunjukkan ketaatan dan kepatuhan kepada Allah SWT. Implikasi keadilan bukan hanya berakhir di dunia tetapi turut dinilai dalam bentuk dosa dan pahala di akhirat kelak.

Dalam satu firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” (Surah an-Nisaa’, ayat 58)

Keadilan mesti dilaksanakan secara jujur. Keadilan Islam juga bersifat sejagat dan mutlak yang memberi jaminan serta keselamatan kepada akal, diri, harta benda, agama dan keturunan manusia.

Penulis Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Profesor di Universiti Putra Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 12:11 PM