JUTAAN umat Islam wukuf di Padang Arafah ketika menunaikan ibadat haji.
Fadly Samsudin

BAGI yang tidak berpeluang pergi menunaikan haji, kita sebenarnya mempunyai peluang yang cukup besar untuk meningkatkan amalan dan ibadat pada bulan Zulhijjah ini.

Barangkali, ramai dalam kalangan umat Islam menganggap 10 hari awal Zulhijjah tidak penting atau nikmatnya tidak seperti berada dalam bulan Ramadan.

Namun kita jangan lupa 10 hari awal ZuIhijjah ini sebenarnya mempunyai kelebihan tersendiri. Allah SWT sedia untuk memberikan kepada hamba-Nya pintu keredaan, keampunan dan kerahmatan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Demi waktu fajar dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah).” (Surah al-Fajr, ayat 1-2)

Imam Ibnu Kathir berkata, yang dimaksudkan dengan ayat itu adalah sepuluh awal pada bulan Zulhijjah.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada hari yang amal soleh padanya lebih dikasihi Allah selain daripada hari-hari yang sepuluh ini. Sahabat bertanya: Walaupun berjihad di jalan Allah? Rasulullah bersabda: Walaupun berjihad di jalan Allah kecuali lelaki yang keluar (berjihad) membawa diri serta hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu (mati syahid).” (Hadis riwayat Ahmad, at-Tirmizi)

Dalam hadis itu menyatakan, kelebihan beramal pada 10 hari awal bulan Zulhijjah hanya dapat ‘dikalahkan’ dengan amalan seorang yang berjuang mempertahankan Islam sehingga dia mati syahid.

Begitulah besarnya kelebihan yang diberikan Allah SWT kepada setiap hamba-Nya. Apakah amalan yang boleh dilakukan pada 10 awal bulan Zulhijjah yang sedang kita lalui ini?

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “...dan hendaklah menyebut nama Allah pada hari-hari yang tertentu..” (Surah al-Hajj, ayat 28)

Sebahagian ulama tafsir menyatakan, 10 hari awal pada bulan Zulhijjah ini kita perlu memperbanyakkan menyebut nama-nama Allah SWT.

Daripada Ibnu Umar RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah dari hari-hari yang sepuluh ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid.” (Riwayat Ahmad)

Justeru, umat Islam perlu memperbanyakkan amalan bertahlil iaitu mengucapkan La ilaha illallah, bertakbir Allahu Akbar serta bertahmid dengan mengu capkan Alhamdulillah.

Imam Bukhari berkata: “Ibnu Umar dan Abu Hurairah menuju ke pasar pada hari-hari sepuluh dan bertakbir. Orang ramai yang mendengarnya juga kemudian turut bertakbir sama.”

Ibnu Umar bertakbir di Mina pada hari-hari berkenaan selepas mengerjakan solat, pada waktu rehat, di dalam majlis dan di semua tempat.

Maka, sunat bertakbir berdasarkan perbuatan Saidina Umar, anaknya dan Abu Hurairah.

Selain itu, gunakan kesempatan yang ada dengan memperbanyakkan berzikir.

Sesiapa saja boleh melakukannya sama ada ketika sedang memandu atau suri rumah yang sedang menyediakan juadah untuk keluarga di dapur juga boleh mengamalkan zikir seperti Subhanallah, Walhamdulillah, Wala ilaha illallah, Wallahu Akbar sebanyak-banyaknya.

Amalan kebaikan lain yang boleh dilakukan pada 10 hari awal Zulhijjah ialah melaksanakan solat berjemaah.

Sebagaimana meriahnya umat Islam memenuhi setiap masjid dan surau pada bulan Ramadan, hal sama juga perlu dilakukan pada 10 hari awal Zulhijjah ini.

Sebaiknya, jangan ada satu waktu solat fardu dalam 10 awal Zulhijjah ini kita tidak melaksanakannya secara berjemaah terutamanya di masjid atau surau.

Begitu juga dengan melaksanakan solat sunat seperti dhuha, witir sebelum tidur dan sunat solat Rawatib (qabliyah dan ba’-diyah).

Umat Islam juga digalakkan berpuasa terutama pada hari Arafah pada 9 Zulhijjah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Aku mengharapkan Allah menghapuskan kesalahan setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.” (Hadis riwayat Muslim)

Bagi yang berkemampuan, Rasulullah SAW menggalakkan umatnya berpuasa dari 1 hingga 9 Zulhijjah selain memperbanyakkan bertaubat dan beristighfar.

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Ogos 2018 @ 11:19 AM