Qira’ah Fatwa

Apakah hukum mengambil pil pencegah haid bagi jemaah haji wanita?

Wanita yang berada dalam keadaan haid dibolehkan melaksanakan perbuatan haji selain daripada melakukan tawaf di Baitullah.

Hal itu berdasarkan sabda Nabi SAW kepada Ummul Mu’minin A’isyah yang bermaksud: “Kamu lakukanlah sebagaimana yang dilaksanakan orang-orang yang mengerjakan haji kecuali janganlah kamu bertawaf di Baitullah sehinggalah kamu suci.” (Riwayat Bukhari - 1650)

Imam al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali Rahimahullah yang mensyarahkan hadis itu berkata: Sesungguhnya haid itu tidak menghalang sedikit pun manasik (perbuatan) haji melainkan tawaf di Baitullah dan solat sesudahnya.

Amalan seperti zikir dan berdoa tidak dihalang kepada orang yang dalam keadaan haid untuk melakukannya. Selain itu, termasuk dalam perkara itu adalah wukuf di Arafah dan Muzdalifah, melontar jamrah serta berdoa di tempat berkenaan.

Semuanya itu sudah disepakati keharusan mengerjakannya. (Lihat Fath al-Bari, Ibn Rajab al-Hanbali - 2/42)

Berikut kami nyatakan beberapa pendapat fuqaha berkenaan isu jemaah haji wanita mengambil pil pencegah haid. Imam al-Bahuuti al-Hanbali Rahimahullah berkata: “Dibolehkan untuk meminum ubat-ubatan yang harus hukumnya untuk memotong haid selama mana ia selamat daripada sebarang kemudaratan. (Rujuk Kasyyaf al-Qina’, al-Bahuti - 1/2180)

Imam Malik pula menyatakan perbuatan itu hukumnya makruh.

Kata al-Imam Ibn Rushd al-Maliki Rahimahullah, Imam Malik ditanyakan berkenaan seorang perempuan yang takut haidnya berlaku lebih awal, lalu dia ingin meminum ubat yang dapat melambatkan kitaran haidnya.

Kata Imam Malik: “Yang demikian itu bukanlah suatu perkara yang tepat. Mengulas kenyataan itu, Imam Ibn Rushd berkata, Imam Malik memakruhkan perbuatan itu kerana takutkan wanita berkenaan memasukkan sesuatu yang dapat memberikan mudarat ke dalam tubuh badannya sendiri. (Lihat Mawahib al-Jalil, al-Ru’aini al-Maliki - 1/538)

Melihat isu itu secara keseluruhan, penggunaan pil pencegah haid bagi jemaah wanita yang mengerjakan haji termasuk dalam perkara keduniaan. Asal bagi hal seumpama itu adalah harus selagi tidak ada dalil yang melarangnya. Ini berdasarkan satu kaedah fiqah yang masyhur maksudnya: “Asal bagi setiap perkara (selain urusan ibadat) adalah harus.”

Sekiranya terbukti dari sudut perubatan penggunaan pil itu boleh memudaratkan penggunanya dalam jangka masa pendek atau panjang, maka hu- kumnya berubah daripada harus kepada haram.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak boleh memberikan mudarat atau saling berbalas memberi mudarat.” (Riwayat Ibn Majah - 2341)

Sekiranya penggunaan pil itu tidak mendatangkan sebarang kesan buruk atau mudarat, maka ia kembali kepada hukum asal iaitu harus. Ia turut dianggap sebagai perkara yang memberikan kemudahan kepada jemaah haji wanita.

Firman Allah SWT bermaksud: “Allah mahukan kemudahan untuk kalian dan Dia tidak mengkehendaki kesusahan terhadap kalian.”(Surah al-Baqarah, ayat 185)

Kami sebutkan beberapa kenyataan dikeluarkan badan berkuasa agama. Antaranya, General Authority Of Islamic Affairs & Endowsments (United Arab Emirates).

Badan ini mengeluarkan pendapat seperti berikut: Dibolehkan bagi seorang wanita yang melakukan haji itu untuk menggunanakan pil bagi melewatkan kitaran haid selepas dirinya berbincang dan mendapatkan pandangan daripada pakar perubatan. (Rujuk pautan berikut https://goo.gl/-Xj2E4A2- Dar al Ifta’ Jordan)

Badan ini berpendapat, dibolehkan bagi seorang wanita meminum ubat-ubatan yang dapat melewatkan kitaran haidnya. Khususnya apabila terdapatnya keperluan dari sudut syarak untuk mengambilnya. Seperti takut penemannya ketika proses haji dan umrah tidak dapat menunggu dirinya apabila dia terlewat disebabkan kedatangan haid. (Lihat selanjutnya di pautan berikut https://goo.gl/BwYvvz)

Selepas meneliti beberapa pendapat fuqaha, kami membuat kesimpulan hukum jemaah haji wanita menggunakan pil pencegah haid adalah harus.

Kami juga menyatakan beberapa perkara yang perlu diteliti seperti mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan.

Sekiranya penggunaan pil pencegahan haid mendatangkan kemudaratan kepada penggunanya, maka ia perlu dielakkan.

Sekiranya seorang wanita tidak menggunakan pil pencegah haid, lalu dia menunggu tempoh bersuci dalam keadaan negaranya jauh dan mahram atau suaminya tidak dapat menunggu bersamanya, maka dibolehkan untuk dirinya menggunakan pil itu.

Sumber: Al-Kafi Li Al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 12:18 PM