FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin

Mengikut statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah penduduk Malaysia pada 2018 mencapai 32.4 juta orang dengan kadar pertumbuhan penduduk tahunan sebanyak 1.1 peratus.

Analisis penduduk warganegara mengikut kumpulan etnik pula mendapati, penduduk Bumiputera seramai 20.07 juta (69.1 peratus) diikuti penduduk Cina seramai 6.69 juta (23 peratus), India 2.01 juta (6.9 peratus) dan lain-lain 0.29 juta (1 peratus).

Bumiputera, Cina dan India membentuk kelompok terbesar penduduk Malaysia.

Kepelbagaian agama, etnik dan budaya di Malaysia yang unik ini menuntut rakyatnya sentiasa berbuat baik dan adil dalam hubungan mereka bagi menjamin keharmonian negara ini.

Berbuat baik adalah satu daripada dasar Islam dalam hubungan etnik. Islam mengajar manusia berbuat baik sesama manusia kerana semuanya berasal da-ripada manusia pertama iaitu Nabi Adam.

Seperti dinyatakan dalam al-Quran yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami memuliakan anak cucu Adam.” (Surah al-Isra’, ayat 70)

Islam juga memerintahkan manusia berbuat baik dan adil kerana ia menjadi dasar utama dalam berinteraksi antara seorang Muslim dengan bukan Islam yang lain.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.” (Surah Al-Mumtahanah, ayat 8)

Ayat itu diturunkan untuk menjawab satu per-istiwa apabila Asma’ binti Abi Bakar RA yang ibunya bernama Qatilah binti ‘Abdil ‘Uzza yang bukan Islam ingin menziarahinya.

Beliau berkata: “Ibuku mendatangiku dan dia sangat ingin aku menyambung hubungan dengannya.

Kemudian aku bertanyakan kepada Nabi SAW, bolehkah aku tetap menjalin hubungan dengannya?

Baginda pun menjawab, “Ya boleh”. Nabi SAW menyuruh Asma’ untuk menerima hadiah pemberian ibunya dan mengizinkan ibunya memasuki rumahnya.

Jelas, Islam mengajarkan prinsip toleransi iaitu hendaklah setiap Muslim berbuat baik kepada sesiapa saja selama tidak ada kaitannya dengan hal agama.

Ibnu Kathir menjelaskan, “Allah tidak melarang kalian berbuat baik kepada bukan Islam yang tidak memerangi kalian seperti berbuat baik kepada wanita dan orang yang lemah di antara mereka. Hendaklah berbuat baik dan adil kerana Allah menyukai orang yang berbuat adil.”

Nabi Muhammad SAW juga melarang sama sekali tindakan zalim terhadap kafir mu’ahad dalam kalangan ahli zimmah dan lainnya.

Bahkan, Nabi SAW sangat keras dalam mengancam tindakan itu seperti sabdanya yang bermaksud. “Ingatlah! Barang siapa berlaku zalim terhadap kafir Mu’ahad, mengurangi haknya, membebani mereka beban (jizyah) di luar kemampuannya atau mengambil harta mereka tanpa keredaan mereka, maka akulah nantinya yang akan sebagai hujah mematahkan orang semacam itu.” (Hadis riwayat Abu Daud dan al-Baihaqi dalam Sunan Kubra. Syaikh Al Albani mengatakan hadis itu sahih)

Menjadi tanggungjawab seorang Muslim untuk menyampaikan ajaran Islam dengan akhlak yang mulia kepada bukan Islam.

Penulis Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Profesor di Universiti Putra Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Ogos 2018 @ 2:19 PM