FOTO Rasul Azli Samad
Qira’ah Fatwa

Saya bernazar melaksanakan akikah anak dengan seekor kambing. Malangnya, kambing itu dicuri sebelum akikah dibuat.

Pada hari raya Aidiladha tahun lalu, saya mengambil satu bahagian untuk mengakikahkan anak saya.

Bagaimana dengan nazar saya itu adakah ia sudah terlaksana?

Akikah adalah satu ibadat yang biasa dilakukan dalam masyarakat Melayu oleh ibu bapa kepada anak yang baru dilahirkan.

Akikah ialah haiwan disembelih kerana bayi atau untuk bayi yang dilahirkan dan haiwan yang disembelih itu mengalirkan darah bukan kerana jenayah.

Hukum melakukan akikah menurut mazhab Syafie adalah sunat yang dituntut (sunat muakkad). (Fiqh Manhaji, 3/56)

Ia berlainan dengan nazar. Sesuatu perkara pada asalnya adalah sunat apabila dinazarkan, maka perkara itu akan menjadi wajib.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.” (Surah al-Maidah, ayat 1)

Melalui persoalan yang diajukan, asal hukum akikah anak adalah sunat muakkad. Namun begitu, akikahnya bertukar menjadi wajib kerana sudah berniat nazar.

Nazar akikah akan terangkat sekiranya haiwan itu disembelih walaupun haiwan yang disediakan dicuri atau mati.

Dalam keadaan itu, jika mampu gantilah dengan kambing baharu untuk melaksanakan akikah berkenaan. Jika tidak mampu dan mahu membatalkan nazar, dituntut ke atasnya membayar kafarah sumpah seperti dinyatakan dalam hadis bermaksud: “Sesiapa yang bernazar dengan satu nazar, namun dia tidak mampu melakukannya, maka kafarahnya adalah kafarah sumpah.” (Hadis riwayat Ibnu Majah, No 2128)

Justeru, wajib pada dirinya menunaikan satu daripada tiga perkara berikut untuk menggantikan kafarah sumpah iaitu:

• Memberi makan kepada 10 orang miskin.

• Memberi pakaian kepada 10 orang miskin.

• Memerdekakan seorang hamba sahaya.

Jika tiga perkara itu tidak dapat ditunaikan, maka perlu berpuasa selama tiga hari. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah SWT tidak menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpahmu yang tidak dimaksudkan (untuk bersumpah), tetapi Dia menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah yang kamu sengajakan, maka kafarah (melanggar) sumpah itu ialah memberi makan sepuluh orang miskin iaitu daripada makanan yang biasa kamu berikan kepada keluargamu atau memberi pakaian kepada mereka atau memerdekakan seorang budak. Barang siapa tidak sanggup melakukan yang demikian, maka kafarahnya puasa selama tiga hari. Yang demikian itu adalah kafarah sumpah-sumpahmu bila kamu bersumpah (dan kamu langgar) dan jagalah sumpahmu. Demikianlah Allah menerangkan kepadamu hukum-hukum-Nya agar kamu bersyukur (kepada-Nya).” (Surah al-Maidah, ayat 89)

Sekiranya mengambil satu bahagian ketika raya korban yang diniatkan untuk menyelesaikan nazar itu juga tetap tidak terangkat nazar akikah anaknya.

Ini kerana, dia sudah bernazar untuk akikah dengan seekor kambing. Maka ia perlu juga dilunaskan dengan menyembelih seekor kambing.

Jika tidak mampu, cukup dengan melaksanakan kafarah sumpah seperti dinyatakan.

Sumber: Al-Kafi Li Al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 12:47 PM