FOTO Faiz Anuar
AL-FIQH

1. Sekiranya ada tulisan di sebelah tepi mashaf, adakah ia dianggap sebagai mashaf dan haram bagi orang yang be rhadas menyentuhnya atau menanggungnya? Adakah ia dinamakan sebagai kitab tafsir?

Hukumnya sama seperti kitab tafsir iaitu sekiranya huruf yang digunakan untuk menulis di tepi mashaf itu lebih banyak daripada huruf al-Quran, maka harus orang yang berhadas menyentuh atau menanggungnya.

Tetapi jika huruf yang ditulis itu dianggarkan lebih sedikit daripada huruf al-Quran, ia masih kekal sebagai mashaf dan haram bagi orang yang berhadas menyentuh atau menanggungnya.

2. Bolehkah tulisan ayat al-Quran (seperti yang ditulis di pinggan atau seumpamanya) dihilangkan atau dipadamkan dengan menggunakan air liur?

Harus berbuat demikian jika dia berqasad untuk menghilangkan atau menghapuskan tulisan itu.

3. Seseorang mengerjakan solat dengan memejamkan matanya supaya tidak ternampak sesuatu dengan niat untuk mendapatkan ketenangan selain menumpukan sepenuh perhatian kepada solat yang dikerjakannya. Adakah makruh berbuat demikian?

Sekiranya cara sedemikian boleh mendatangkan khusyuk, hukumnya tidak makruh memejamkan kedua-dua mata.

4. Seseorang lelaki solat dengan sengaja memakai kain yang agak singkat separas lututnya. Apabila dia rukuk dan sujud akan menampakkan aurat bahagian lutut atau pahanya. Adakah perkara itu membatalkan solatnya?

Tidak membatalkan solatnya walaupun dia sengaja memakai kain singkat kerana menampakkan aurat itu dikira dari bahagian bawah bukan bahagian yang biasa.

5. Seseorang masuk ke dalam masjid dan mendapati imam sedang mengimamkan solat Isyak berjemaah sedangkan dia mempunyai qada’ Maghrib yang masih belum ditunaikan. Manakah yang perlu dia dahulukan?

Mengikut pendapat yang muktamad, sekiranya dia mendapati waktu Isyak masih panjang maka hendaklah dia mendahulukan qada’ Maghrib (secara bersendirian).

Selepas itu, jika jemaah masih lagi solat, bolehlah dia ikut solat Isyak bersama jemaah itu. Jika tidak sempat, hendaklah dia solat Isyaknya sendirian.

Sumber: Furu’ Al-Masa’il Wa Usul Al-Wasa’il oleh Maulana Al-Syeikh Daud Abdullah Al-Fathani dan disusun Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Ogos 2018 @ 5:56 AM