Mohd Rizal Azman Rifin

Kedatangan Islam ke Nusantara bukan sekadar membawa ajaran mentauhidkan Allah SWT, malah pada masa sama turut membentuk sistem pendidikan berteraskan Islam dalam kalangan masyarakat.

Ini dapat dilihat dengan kewujudan institusi pengajian seperti sistem pondok, madrasah dan maahad tahfiz.

Sistem pengajian agama tradisional itu sudah berakar umbi dalam masyarakat Islam di negara ini dan berperanan besar melahirkan modal insan yang unggul dalam ilmu agama khususnya ilmu al-Quran dan hadis.

Bagaimanapun, ada dalam kalangan masyarakat yang melontarkan persepsi negatif terhadap kewujudan institusi berkenaan.

Penuntut produk keluaran sekolah pondok dan tahfiz berkenaan sentiasa menjadi rebutan kebanyakan masjid dan surau setiap kali tibanya Ramadan bagi menggunakan khidmat mereka sebagai imam.

Kebanyakan mereka masih muda dan memiliki suara yang baik ketika mengalunkan ayat al-Quran membuatkan jemaah dapat bersama-sama menghayati setiap butir ayat yang dibaca itu.

Kini, sistem pengajian Islam tradisional mula berkembang seiring perkembangan zaman yang ia bukan saja menyediakan skop kurikulum berintipatikan ilmu agama saja, sebaliknya sudah wujud maahad tahfiz yang memberi penekanan kepada pendidikan kemahiran dan ilmu duniawi yang lain.

Ia seharusnya dilihat sebagai perkembangan yang amat positif supaya sistem pengajian Islam tidak ‘beku’ dengan satu gaya saja.

Jadi, amatlah malang apabila ada sesetengah pihak menyuarakan cadangan supaya sistem pengajian Islam tradisional itu ditutup, memandangkan sumbangannya terlalu besar buat umat Islam.

Seharusnya kita berbangga dengan adanya sistem pengajian Islam yang berusaha melahirkan modal insan berjiwa al-Quran.

Bukannya menutupnya, sebaliknya pihak pemerintah atau badan bukan kerajaan tampil dengan lebih giat memperkasakan lagi sistem itu supaya ia bakal menghasilkan generasi Islam yang membawa keberkatan kepada masyarakat dan negara.

Dalam Surah at-Jatsiyah, ayat 20 menjelaskan, al-Quran adalah pedoman buat manusia, petunjuk dan rahmat bagi kaum yang meyakini.

Justeru, dalam situasi zaman yang serba mencabar dalam masyarakat hari ini, kita seharusnya memiliki generasi muda umat Islam yang boleh menjadi benteng mempertahankan ajaran agama Allah SWT ini.

Ingatlah akan peringatan yang pernah diberikan Rasulullah SAW sebagaimana terkandung dalam hadis yang diriwayatkan oleh at-Tabrani, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya dekat masanya, tiada yang tersisa daripada agama ini, selain hanya ramai saja. Pada masa itu, Islam hanya sebatas penanda identiti diri, sedangkan perilaku kaum Muslimin jauh daripada nilai Islam. Dan pada zaman itu, tiada yang tersisa daripada al-Quran, selain huruf-hurufnya, manusia membelakangi dan mengabaikan isinya.”

Kita juga sudah tentu tidak mahu terjadi fenomena masyarakat yang buta al-Quran. Apa yang menjadi impian kita semua adalah untuk menyaksikan keseluruhan masyarakat ‘akrab’ dengan Kalamullah.

Khalifah ar-Rasyidin ketiga, Saidina Uthman bin Affan pernah memberikan nasihat supaya umat Islam sentiasa menanamkan dalam jiwa rasa cinta kepada al-Quran dan hidup bersamanya.

Beliau berkata: “Bacalah al-Quran, ia akan menjadi syafaat diri kamu pada hari kiamat. Ia akan memberikan kesejukan hati dan jiwa bagi insan yang membacanya, ia memberikan ilmu kepada insan yang mendalam ayat-ayat-Nya.”

Selain itu, menantu Rasulullah SAW itu juga menasihatkan: “Hiduplah bersama al-Quran, nescaya hidup kamu akan selamat. Ketahuilah al-Quran dapat melembutkan hati yang keras, menyedarkan manusia akan fitrahnya, mencerahkan hati dan fikiran manusia serta membawanya kepada kebenaran hakiki.”

Seorang lagi menantu Rasulullah SAW yang juga merangkap sepupunya, Saidina Ali bin Abi Talib berpesan: “Berpegang teguhlah kamu kepada al-Quran. Ketahuilah, Kitab Allah adalah tali yang sangat kukuh, cahaya yang nyata, ubat penawar yang sangat mujarab.”

“Manusia yang menghidupkan ayat-ayat al-Quran pasti mulia. Manusia yang menjadikan al-Quran sebagai syafaat (penolong) pasti beroleh perlindungan. Maka, jadikanlah al-Quran sebagai pedoman hidup kamu.”

Demikianlah sahabat Baginda SAW dulu begitu bersemangat dalam perkara menghidupkan jiwa dengan al-Quran dan usaha generasi terdahulu nyata tidak pernah terputus dalam menghasilkan generasi umat Nabi Muhammad SAW yang memiliki daya hafalan yang kuat dalam pembacaan al-Quran dan mahir dalam setiap selok- belok ilmu agama.

Kehadiran dan kewujudan sistem pengajian Islam tradisional khasnya sekolah pondok dan maahad tahfiz seharusnya kita pertahankan kerana ia adalah nadi keutuhan umat Islam.

Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 11:35 AM