Hashim Ahmad
am@hmetro.com.my

Masyarakat Islam tidak boleh memikirkan kepentingan dirinya saja iaitu bersenang-lenang tanpa memikirkan sedikit pun nasib saudara seagama yang dalam kesusahan atau ditimpa musibah.

Sifat mementingkan diri sendiri adalah bertentangan dengan semangat yang tersirat dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang Mukmin itu bersaudara.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Keadaan itu terjadi kerana kita terlalu sibuk dengan urusan duniawi. Jika ketika ini ada dalam kalangan kawan kita sedang diuji dengan kesakitan dan terlantar di hospital, carilah masa lapang untuk menziarahinya.

Kehadiran kita itu pastinya akan meninggalkan kesan kepada jiwanya yang sedang berduka.

Sedikit sebanyak ia dapat mengurangkan beban penderitaan yang dialaminya, malah membantu menyembuhkan sakitnya dengan keizinan Allah SWT atas iringan doa kita.

Atau sekurang-kurangnya pesakit akan terhibur hatinya dan hilang rasa sedih walaupun untuk sementara waktu.

Terdapat banyak hadis Rasulullah SAW yang menganjurkan kita melakukannya baik secara lisan atau perbuatan.​

Itu menunjukkan Baginda inginkan amalan menziarahi orang sakit menjadi amalan yang dilaksanakan umat Islam.

Ia juga adalah ciri-ciri akhlak mulia yang tidak boleh ditinggalkan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Perumpamaan orang-orang Islam di dalam berkasih sayang dan bersaudara adalah seperti tubuh. Jika salah satu anggota tubuhnya mengadu kesakitan maka anggota-anggota lain juga akan ikut merasakan panasnya dan tidak tidur malam.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Demikian kehidupan orang Islam yang turut berasa sedih dan berusaha membantu semampunya jika salah seorang daripada mereka ditimpa sakit.

Kita juga berulang-ulang kali menyebut untaian doa: “Semoga selamat sejahtera dilimpahkan atasmu!” ketika ingin mengucapkan salam mahupun ketika membaca tasyahud dalam solat lima waktu.

Amalan menziarahi orang sakit adalah hak yang mesti ditunaikan buat orang yang sihat. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Hak seorang Muslim terhadap seorang Muslim yang lain ada lima iaitu menjawab salam, menziarahi yang sakit, mengiringi jenazahnya ke perkuburan, menerima undangan dan mendoakan orang yang bersin.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)​

Antara kesan positif dirasakan oleh mereka yang berziarah ketika rakannya sedang sakit pastinya timbul perasaan simpati dan insaf pada dirinya.

Tentu setelah itu fikirannya akan merenung kembali amalan serta dosa yang dilakukan, seterusnya dia akan berusaha memperbaiki hidupnya.​

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ada lima perkara yang barang siapa melakukan salah satu daripadanya, ia akan menjadi jaminan terhadap Allah iaitu sesiapa yang menziarahi orang sakit atau keluar mengikuti jenazah, atau pergi untuk berperang atau mengiringi imam yang ingin​ men-hina atau mencederaka-nya atau berdiam di rumah sehingga orang ramai terselamat daripada kejahatannya dan dia sendiri juga selamat daripada kejahatan mereka.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Jabir meriwayatkan, beliau diziarahi Nabi SAW bersama sahabat Abu Bakar ketika beliau sedang sakit. Ketika Jabir dalam keadaan pengsan dan tidak dapat berbicara sesuatu, lalu Baginda mengambil air sembahyang dan memercikkan airnya ke mukanya.

Pernah juga Rasulullah SAW menziarahi seorang ahli kitab yang sedang sakit. Setelah sembuh daripada sakitnya, dia terus memeluk Islam kerana tertarik dengan sikap Rasulullah SAW dan ajaran yang dibawa Baginda.

Jelas kepada kita, amalan menziarahi orang sakit sangat penting dan utama. Cara terbaik untuk menziarahi orang sakit ialah segera datang melihat ketika mendengar berita sakitnya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ziarahlah dengan berganti hari, nescaya ia akan menambah kasih sayang.” (Hadis riwayat Al-Bazar dan Baihaki)​

Berkata Aisyah, Rasulullah SAW apabila melihat orang sakit, Baginda mengusap dengan tangan kanannya sambil berdoa: “Hilangkanlah kesusahannya Ya Allah. Sembuhkanlah ia, sesungguhnya Engkaulah yang menyembuhkannya. Tiada kesembuhan melainkan daripada Engkau, kesembuhan yang tidak meninggalkan apa-apa penyakit lagi.” (Muttafaqun ‘Alaih)

Penulis pesara guru Yayasan Guru Islam Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 11:26 AM