FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
Qira’ah Fatwa

Apakah hukum memberi hutang kepada kawan yang kita tahu dia akan gunakan untuk perkara tidak bermanfaat dan membeli sesuatu barang hanya untuk menunjuk-nunjuk?

Secara umumnya, hutang di dalam Islam adalah dibenarkan dan bertepatan dengan syarak.

Orang yang memerlukannya dibenarkan dan disunatkan meminta tanpa perlu rasa bersalah.

Malah, ia menjadi tanggungjawab orang yang diminta. Ini ada dinyatakan oleh kitab Allah SWT dan ijmak ulama. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/121-122)

Hikmah pensyariatan membenarkan amalan itu cukup jelas iaitu merealisasikan kehendak Allah SWT yang mahukan wujudnya suasana tolong-menolong untuk tujuan kebaikan dan ketakwaan sesama umat Islam.

Amalan itu juga dapat memantapkan lagi hubungan persaudaraan sesama umat Islam dengan cara mengajak mereka supaya menghulurkan bantuan kepada mereka yang ditimpa kesusahan dan kesengsaraan.

Menjawab persoalan itu, kami nukilkan daripada kitab al-Fiqh al-Manhaji yang menyebut:

Pada asasnya dalam keadaan biasa, hukum memberi hutang adalah sunat sementara meminta hutang adalah harus.

Itulah hukum hutang dalam keadaan biasa. Walau bagaimanapun, hukum itu mungkin berubah bergantung kepada niat orang yang berhutang.

• Haram

Jika pemberi hutang mengetahui hutang itu akan digunakan untuk tujuan yang diharamkan seperti minum arak, judi dan sebagainya.

• Makruh

Jika si pemberi hutang mengetahui hutang itu akan digunakan untuk perkara yang tidak bermanfaat atau untuk menunjuk-nunjuk atau penghutang tahu dia tidak mampu membayar semula hutang itu.

• Wajib

Jika pemberi hutang mengetahui orang yang berhutang itu amat memerlukan untuk menampung hidupnya dan keluarganya.

Tiada cara lain untuk dia memperolehnya kecuali dengan cara berhutang. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/128-129)

Oleh itu, sebagai kesimpulan, makruh memberi hutang sekiranya si pemberi hutang mengetahui orang yang ingin berhutang akan membeli sesuatu yang tidak berfaedah atau membeli sesuatu sekadar untuk menunjuk-nunjuk sedangkan dia tidak mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian.

Semoga kita wajarkan dalam kehidupan ini dengan sifat al-tawasi bi al-haq dan al-tawasi bi al-sabr seperti yang dinyatakan dalam Surah al-‘Asr.

Sumber: Al-Kafi Li Al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Julai 2018 @ 11:30 AM