FOTO Zulfadhli Zulkilfi
Fatimah Syarha Mohd Noordin

Seandainya kita meninggal dunia esok atau lusa, lalu orang bertanya kepada pasangan dan anak-anak mengenai peribadi kita, apa agaknya yang mampu mereka jawab?

Itulah yang terjadi selepas Nabi Muhammad SAW wafat. Ibnu Umar datang dan bertanya kepada insan paling dekat di hati Baginda selepas kematian Saidatina Khadijah iaitu Saidatina Aisyah.

“Izinkan kami di sini seketika dan ceritakan kepada kami perkara yang paling mengagumkan daripada semua yang pernah engkau saksikan pada diri Nabi.” (Diriwayatkan Ibnu Abi Hatim dan Ibnu Hibban)

Apakah jawapan seorang isteri? Sambil menangis Saidatina Aisyah menjawab: “Semua urusannya menakjubkan bagiku.”

Kemudian beliau menceritakan mengenai lembutnya akhlak Baginda meminta izin isteri yang sedang terbaring untuk Baginda solat mengadap Allah Azza Wajalla.

Beliau menjadi saksi menceritakan kekhusyukan dan air mata Baginda SAW.

Bagaimana pula dengan diri kita? Apakah yang sudah dilakukan kepada pasangan dan anak kita?

Terdapat kajian psikologi menunjukkan masked-deprivation atau kelaparan tersembunyi terhadap kasih sayang seorang ayah berpotensi menjadikan anak menderita kecemasan, menimbulkan rasa tidak tenteram, rendah diri, kesepian (meskipun di tengah ramainya orang), agresif, negatif (cenderung melawan orang tua) serta mengalami pelbagai bentuk kelemahan mental. (Rujuk lanjut Masked deprivation in infants and young children oleh Prugh DG dan Harlow RG di https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/144-89024)

Adakah kita hanya mempersiapkan pencapaiannya dan lupa bertanya sama ada mereka hidup gembira atau tidak?

Kasihan anak kita. Jika kita tidak menabur baja, apa yang kita harapkan pada hasilnya?

Rasulullah SAW segera memendekkan solatnya kerana mengerti rasa hati seorang ibu saat itu.

Pernah juga solat Baginda terpaksa dipanjangkan kerana meraikan telatah anak kecil.

Lama Baginda sujud sehingga sahabat menyangka turunnya wahyu yang baru.

Rupa-rupanya ada cucu Baginda yang menunggang di belakangnya. Bukan sekali cucu Baginda mengacau imam ketika solat tetapi bagaimana sikap Baginda?

Abu Bakrah menceritakan: Rasulullah SAW mendirikan solat, apabila Baginda sujud, al-Hasan me-lompat ke atas belakang dan tengkuknya.

Rasulullah SAW pun bangkit (daripada sujud) dengan lembut supaya al-Hasan tidak jatuh.

Baginda SAW melakukan hal itu bukan sekali. Apabila selesai solatnya, sahabat bertanya: “Ya Rasulullah, kami melihat engkau memperlakukan al-Hasan dengan cara yang tidak pernah kami lihat engkau melakukannya.

Rasulullah SAW menjawab: “Dia adalah permata hatiku di dunia ini. Sesungguhnya cucuku ini seorang sayyid (pemimpin), boleh jadi Allah akan mendamaikan dua kaum Muslimin dengan cucuku ini. (Musnad Ahmad)

Untung sungguh anak generasi awal kerana mereka dapat melihat, mendengar dan merasai sendiri perhatian dan cinta daripada peribadi Nabi.

Begitu juga Nabi SAW pernah mendukung cucu perempuannya, Umamah binti al-Ash ketika solat.

Tanpa rasa kekok, Baginda solat seperti biasa. Apabila rukuk, Umamah diletakkan dahulu.

Apabila bangun daripada rukuk, Umamah diangkat semula ke bahu Baginda.

Pernahkah anak generasi kita melihat seorang ayah mendukung anaknya ketika solat?

Biarpun cucunya banyak keletah ketika berada di rumah Allah, Baginda tetap menyantuni mereka.

Mana ada kanak-kanak secara automatik boleh ditetapkan menjadi robot ketika berada di masjid?

Buraidah berkata: Nabi SAW sedang berkhutbah. Tiba-tiba datang al-Hasan dan al-Husain yang sedang memakai baju berwarna merah dan mereka bertatih berjalan.

Rasulullah SAW pun turun (dari mimbar) dan menghentikan khutbahnya. Rasulullah SAW mengangkat kedua-duanya, kemudian kembali ke mimbar.

Kemudian Baginda menyebut: “Sungguh benar perkataan Allah. Sesungguhnya harta-harta kalian dan anak-anak kalian adalah ujian. (Surah at-Taghabun, ayat 15)

Rasulullah SAW juga suka membuat muka lucu kepada kanak-kanak. Baginda menunjukkan warna merah lidahnya sehinggakan Hussin datang kepadanya. (Rujuk hadis riwayat Ibnu Hibban dalam kitab Sahihnya dengan sanad Hasan)

Baginda tidak meremehkan kebaikan walau sekadar bermuka manis kepada orang dewasa, begitu juga kanak-kanak.

Banyak lagi kenangan yang Rasulullah SAW ciptakan bersama anak Baginda.

Sudahkah anak melihat senyuman kita yang paling tulus buat mereka hari ini?

Atau mereka melihat wajah geram kita yang asyik mengungkit segala kesalahannya? Jika bos di tempat kerja melayan kita begitu, apa perasaan kita? Mungkin kita berhenti kerja!

Rasulullah SAW sangat mudah mengungkapkan cinta kasih kepada kanak-kanak. Bukan hanya memendamkannya saja di sudut jiwa.

Abu Hurairah berkata: Aku bersama-sama Rasulullah SAW berada di pasar Madinah. Apabila Rasulullah SAW beredar, aku pun beredar.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Di manakah si kecil (iaitu Hasan)? Sebanyak tiga kali. Al-Hasan pun bangun dan berjalan, di lehernya terdapat kalung.

Nabi SAW pun membuka tangannya dan al-Hasan pun melakukan hal yang sama, Rasulullah SAW mendekati al-Hasan lalu Baginda bersabda: “Ya Allah, sesungguhnya aku mencintainya, cintailah dia dan cintailah orang yang mencintainya.”

Keakraban Rasulullah SAW menyebabkan kanak-kanak tidak rasa mempunyai tembok bagi berkongsi hati dan perasaan dengannya.

Sehinggakan Ibnu Umar boleh berkongsi mimpinya dengan Nabi SAW. (Rujuk Riwayat Bukhari)

Tarik nafas dan fikirkan sejenak adakah kita sudah ciptakan semua memori itu buat anak kita?

Pernahkah tangan kita mengusap air matanya, berbaring di sisinya sambil bercerita, mendengar ketakutannya di sekolah, memujuk ketika dia kecewa, menyapu ubat pada lukanya dan memberi hadiah pada pencapaiannya?

Atau selama ini kita berasa cukup letih mencari duit yang tidak seberapa sehingga tidak sempat langsung untuk ‘membeli’ bahagia?

Penulis pendakwah dan penulis buku

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Julai 2018 @ 8:45 AM