Fadly Samsudin

Hebatnya buat mereka yang dijemput menjadi tetamu Allah SWT kerana berpeluang mendapat ‘kebahagiaan’ abadi iaitu memperoleh haji mabrur.

Laungan ‘Labbaik Allahumma Labbaik’ menandakan setiap jemaah perlu merasakan diri mereka cukup bertuah kerana menjadi sebahagian tetamu pilihan Allah SWT.

Haji mabrur adalah kemuncak dan matlamat apabila seseorang melaksanakan ibadat haji yang natijahnya adalah syurga.

Dalam satu hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Haji yang mabrur (penuh kebajikan) adalah lebih baik daripada dunia dan segala isinya dan haji mabrur tiada lain balasannya kecuali syurga.” (Riwayat Abu Hurairah)

Satu daripada sikap orang mulia ialah selalu memberi salam kepada saudaranya serta suka menjamu orang makan.

Ini kerana sifat orang yang suka bersedekah, berinfak dan menjamu makanan begitu subur dilaksanakan jemaah yang berada di sana.

Lalu amalan mulia itu terus dipraktikkan sekembalinya ke tanah air.

Begitu juga golongan yang memperoleh haji mabrur dapat dikesan menerusi gaya percakapannya.

Tiada lagi bercakap dengan bahasa yang kasar, menyindir serta mempersendakan orang lain.

Sehubungan itu, setiap jemaah perlu sentiasa menguatkan mental dan fizikal sebelum berangkat melaksanakan ibadat haji kerana mereka pasti berdepan dengan pelbagai ujian.

Bayangkan, jemaah datangnya dari seluruh dunia sudah tentu terdapat pelbagai ragam manusia yang berbeza budaya, tradisi serta mempunyai karakter yang tersendiri.

Dalam ibadat haji, setiap jemaah juga perlu memenuhi beberapa rukun dan sekiranya salah satu daripadanya gagal dilaksanakan menyebabkan hajinya tidak sah.

Rukun haji adalah niat, wukuf di Arafah, tawaf (tawaf rukun dikenali sebagai tawaf ifadah), sai’e, bercukur atau bergunting dan tertib.

Sepanjang berada di Tanah Suci, setiap jemaah perlu sentiasa bersikap positif dan berusaha sedaya upaya untuk bersikap sabar bagi mengelak diri daripada bertengkar atau berbalah (jidal).

Perkara itu kelihatan biasa dan remeh, namun kesannya cukup besar dan boleh menyebabkan seseorang gagal mendapatkan haji mabrur.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir hendaklah berkata baik atau diam.”

Justeru, gunakanlah peluang ketika mengerjakan ibadat haji untuk melaksanakan solat secara berjemaah, solat sunat Dhuha, membaca al-Quran selain melakukan tawaf sunat selepas waktu Subuh, Maghrib dan Isyak.

Selain itu, bangun awal pagi dan segera bersiap untuk ke masjid dan tiba sebelum azan dilaungkan serta menjaga hubungan baik sesama jemaah.

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Julai 2018 @ 11:21 AM