Qira’ah Fatwa

Adakah perlu membasuh tuala wanita sebelum membuangnya? Saya ada terdengar jika ia tidak dibasuh sebelum membuangnya, jin akan makan darah haid yang ada pada tuala itu.

Tiada sebarang athar atau hadis yang menunjukkan tuala wanita yang mengandungi darah haid perlu dibasuh terlebih dahulu sebelum membuangnya.

Selain itu, tidak ada riwayat daripada sahabat Nabi Muhammad SAW daripada kalangan wanita menyatakan mereka membasuh tuala itu sebelum membuangnya.

Tiada juga arahan daripada Nabi Muhamamd supaya membasuhnya. Apa yang Nabi arahkan adalah jika darah itu terkena pada pakaian seperti dalam hadis yang diriwayatkan Asma’ binti Abu Bakar. Kata beliau yang bermaksud: “Aku bertanya kepada Nabi SAW mengenai darah haid yang terkena pada pakaian.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Basuhlah ia dan gosoklah ia dengan air serta siramlah ia (selepas digosok). Kemudian solatlah dengan pakaian itu.” (Riwayat al-Tirmizi - 138 dan Abu Daud - 362)

Adapun membasuh tuala wanita sebelum membuangnya tidak pernah diarahkan oleh Nabi SAW. Ini dapat dilihat daripada zahir hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri.

Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW maksudnya: “Adakah boleh kami mengambil wuduk dari perigi yang mana dibuang di dalamnya kain-kain yang terkandung darah haid, nanah dan daging anjing.

Sabda Nabi SAW: “Air itu suci dan tidak dinajiskan oleh sesuatu.” (Riwayat al-Tirmizi - 66 dan Ahmad - 11257 di dalam Musnadnya)

Zahir hadis menyatakan bahawa kain tuala wanita dibuang tanpa dibasuh terlebih dahulu. Jika kain itu dibasuh, tidak akan ada yang bertanya mengenai kesucian air perigi berkenaan.

Kami menyatakan, tiada sebarang hadis atau athar menyatakan perlu membasuh tuala wanita sebelum membuangnya.

Tidak benar jika ada yang mengatakan ia perlu dibasuh terlebih dahulu kerana dibimbangi akan menjadi makanan jin. Namun, tidak dinafikan syaitan memang menyukai perkara yang kotor dan najis.

Ini berdasarkan hadis daripada Anas bin Malik yang menyebut doa Rasulullah SAW ketika masuk ke dalam tandas.

Rasulullah SAW berdoa maksudnya: “Ya Allah aku berlindung dengan Engkau daripada al-Khubuth dan al-Khabaith.” (Riwayat al-Bukhari - 6322)

Kata al-Khattabi: “al-Khubuth adalah kata jamak bagi al-Khabith yang membawa makna syaitan jantan manakala al-Khabaith adalah kata jamak bagi al-Khabithah yang membawa makna syaitan betina.” (Rujuk Ma’alim al-Sunan - 1/10)

Cuma kami mengesyorkan beberapa perkara iaitu:

l

Tuala wanita itu perlu dibuang di tempat khusus. Jika boleh, asingkan dari tempat buangan yang biasa digunakan seperti dilakukan di hospital.

l

Jangan dibuang merata-rata seperti dalam mangkuk tandas dan tempat lain yang tidak sesuai. Ini kerana, ia boleh menimbulkan suasana tidak selesa.

Sumber: Al-Kafi Li Al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Julai 2018 @ 11:28 AM