Mohd Fadly Samsudin
rencana@hmetro.com.my

Setiap umat Islam perlu menanam kefahaman serta keyakinan apabila dia menafkahkan sebahagian hartanya ke jalan Allah SWT termasuk berzakat, pasti ada pulangannya.

Tidak dinafikan, sudah menjadi lumrah manusia berasa cinta dan sayangkan harta yang dimilikinya. Sukar bagi mereka untuk memberi hartanya kepada orang lain sekiranya tidak menerima sebarang ganjaran.

Yakinlah akan janji Allah SWT dengan berzakat tidak akan mengurangkan harta seseorang, malah akan bertambah keberkatan dan kesuburan harta si pemiliknya.

Di dunia lagi, apabila seorang lelaki melunaskan zakat yang diwajibkan ke atasnya, dia akan dikurniakan isteri solehah, anak yang taat serta rumah tangga yang tenteram.

Allah SWT berfirman bermaksud: “Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat) supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk) dan doakanlah untuk mereka kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah at-Taubah, ayat 103)

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat-MAIWP (PPZ-MAIWP), Ahmad Syukri Yusoff berkata, sebab itu dalam Islam ada istilah jihad iaitu meninggikan kalimah Allah SWT dengan mengutamakan apa saja kehendak Allah SWT melebihi perkara lain.

Menurutnya, amalan berzakat berupaya mengikis sifat terlalu cintakan harta dunia yang mendorong manusia bersifat bakhil dan tidak prihatin dengan kesusahan saudara seagama.

“Dalam satu hadis riwayat al-Baihaqi, Nabi SAW ada menyebut bagaimana orang apabila menunaikan zakat dia membaca doa yang maksudnya, “Ya Allah jadikanlah (zakat) itu keuntungan kepada saya, Ya Allah jangan jadikannya sebagai sesuatu yang merugikan.”

“Doa yang Nabi ajar itu menggambarkan manusia memang berasa terlalu sayang untuk memberikan harta mereka. Namun, melalui doa itu, Nabi didik umatnya supaya berasakan amalan berzakat adalah satu bentuk pelaburan yang akan membawa keuntungan besar kepada mereka kelak,” katanya.

Ahmad Syukri berkata, terdapat segelintir umat Islam merasakan zakat hanya perlu ditunaikan golongan kaya saja sehingga menyebabkan perintah melaksanakan Rukun Islam ketiga itu dipandang remeh.

“Selain itu, apabila disebut zakat, ada yang fokus untuk membayar zakat fitrah saja seperti difardukan ke atas setiap Muslim pada bulan Ramadan.

“Sebenarnya, Ramadan bukan sekadar mengingati tanggungjawab membayar zakat fitrah saja tetapi perlu juga ingat untuk membayar zakat harta.

“Sehubungan itu, umat Islam disarankan membuat pertanyaan dan penaksiran semula zakat di mana-mana kaunter pungutan zakat bagi menentukan sama ada mereka perlu membayar zakat bagi tahun berkenaan ataupun tidak.

“Jika mencukupi syarat wajib menunaikan zakat, maka wajib mengeluarkan 2.5 peratus daripada keseluruhan harta. Sekiranya gagal dilunaskan, seolah-olah mengambil hak asnaf termasuk golongan fakir dan miskin,” katanya.

Sementara itu, PPZ-MAIWP membuka 11 kaunter setiap hari pada bulan Ramadan ini dari jam 8.15 pagi hingga 4.30 petang bagi memudahkan orang ramai membuat pembayaran zakat.

Pada hari terakhir Ramadan, waktu operasinya sehingga jam 1 tengah hari.

Sebelas kaunter itu adalah di Taman Shamelin Perkasa Cheras, Seksyen 5 Wangsa Maju, Presint 9, Putrajaya, Presint 15 Diplomatik Putrajaya, Anjung Niaga Taman Tun Dr Ismail dan Plaza RAH Kampung Baru.

Selain itu, Masjid Al-Imam Al-Ghazali Kepong, Masjid Abdul Rahman bin Auf Jalan Puchong, Labuan Times Square, Masjid Negara dan UTCKL Pudu Sentral.

Ahmad Syukri berkata, pihaknya menyarankan orang ramai yang belum menunaikan zakat berbuat demikian di mana-mana cawangan kaunter yang dinyatakan.

“Pihak kami turut menyediakan Kaunter Zakat Bergerak yang akan berada di lokasi tertentu setiap hari.

“Untuk mendapatkan perkhidmatan itu, boleh menghubungi talian 1-300-88-5757 atau boleh berinteraksi menerusi Facebook PPZ-MAIWP iaitu Pusat Pungutan Zakat,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai juga boleh membuat pembayaran zakat melalui Portal Zakat PPZ-MAIWP dengan melayari www.zakat.com.my.

Selain itu, 14 bank turut dilantik sebagai ejen bagi memudahkan orang ramai menunaikan tanggungjawab membayar zakat melalui perbankan Internet.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Jun 2018 @ 11:37 AM