MATAHARI, air dan udara antara anugerah tak ternilai Ilahi untuk hamba-Nya.
Mohd Rizal Azman Rifin

Setiap perintah Allah SWT terhadap hamba-Nya pasti ada hikmah di sebaliknya. Sekiranya diperhalusi, kita akan menemui banyak kebaikan atas segala perintah-Nya itu.

Misalnya dalam ibadat solat, ia mempunyai hikmah dan manfaatnya terutama dari segi kesihatan, dapat menjalinkan ukhwah ketika solat berjemaah bersama-sama serta dari aspek mematuhi disiplin.

Demikian juga dengan amalan puasa. Berpuasa adalah manifestasi untuk menzahirkan rasa bersyukur kepada Allah SWT atas setiap nikmat-Nya.

Menuruti dengan penuh tertib dan ikhlas, maka amalan puasa itu adalah satu bentuk kesyukuran seorang hamba kepada Allah SWT.

Walaupun berpuasa selama sebulan bagi sesetengah golongan begitu memeritkan, dengan mengharapkan reda Allah SWT, semua pahit getir berpuasa itu dapat diharungi.

Firman Allah dalam Surah al-Nahl, ayat 18 yang bermaksud: “Dan jika kamu hendak mengira nikmat Allah, kamu tidak akan dapat menghitungnya.”

Sejak dilahirkan ke dunia sehingga kini, kita sentiasa mendapat kurniaan nikmat Allah SWT.

Ibadat puasa yang sedang kita laksanakan ini juga mampu membentuk sikap amanah dan jujur.

Lihatlah larangan kepada seseorang yang sedang berpuasa, mereka perlu mematuhi setiap larangan ditetapkan Allah dan sebarang pelanggaran menyebabkan amalan puasanya itu boleh terbatal.

Kita sebenarnya sedang dididik oleh Allah SWT bagaimana menjadi manusia bersifat jujur dan amanah.

Penerapan nilai jujur dan amanah sangat baik diasuh kepada anak sejak dari kecil. Mereka boleh menipu ibu bapa untuk makan dan minum.

Namun, atas dasar ketaatan membuatkan si anak terus berpuasa walaupun terpaksa mengharungi keperitan menahan lapar dan dahaga.

Ibadat puasa juga mendidik diri berasa belas ihsan terhadap golongan miskin. Ia ada hubungan secara langsung dengan amalan bersedekah kepada fakir miskin.

Saban tahun apabila tiba bulan Ramadan, aktiviti meraikan anak yatim dan golongan asnaf dilakukan secara bersungguh-sungguh.

Pelbagai pihak yang berkemampuan berlumba-lumba untuk menganjurkan program meraikan golongan tidak berkemampuan itu.

Ia membuktikan puasa Ramadan menjadi medan buat golongan kaya menjadi insan pemurah untuk merebut ganjaran dan tawaran pahala dijanjikan Allah SWT.

Ibu bapa perlu mendidik anak mereka membiasakan diri dengan amalan bersedekah setiap hari sepanjang bulan Ramadan.

Anak boleh diterapkan dengan prinsip ‘tiada hari tanpa sedekah’ sebagai amalan sepanjang bulan Ramadan ini.

Insya-Allah, lama-kelamaan amalan itu akan tertanam kukuh dalam jiwa mereka.

Ibadat berpuasa juga mendidik hidup dengan prinsip bersederhana khususnya dalam soal makan dan minum.

Pada bulan Ramadan ini sepatutnya membuatkan kita sedar ia bukanlah bulan untuk menuruti nafsu makan semata-mata.

Malang sekali, sepanjang 12 jam pada siang hari kita mampu mengekang kehendak nafsu makan dan minum, namun apabila masuk saja waktu berbuka, kita gagal mengawalnya.

Jika itu berlaku, ibadat puasa kita masih tidak mampu meninggalkan kesan positif mendidik diri bersederhana dalam makan dan minum.

Satu pesanan Rasulullah SAW yang bermaksud: “Cukuplah bagi seorang manusia beberapa suapan untuk menegakkan tulangnya, jika ia mesti makan berlebihan, maka sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan sepertiga untuk nafasnya.” (Hadis diriwayatkan Imam at-Tirmidzi)

Luqman al-Hakim juga pernah mengingatkan anaknya: “Wahai anakku, kalau engkau penuhi perutmu, akan tidurlah fikiranmu dan gelaplah hikmah. Anggota badan akan malas dan tidak mahu beribadah.”

Sekiranya kita berasa berat untuk beribadat, semak semula sikap makan dan minum kita.

Kemungkinan sikap malas beribadat itu berpunca daripada gaya pemakanan yang tidak menepati sunah Rasulullah SAW.

Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Jun 2018 @ 10:35 AM