Sumber: Irsyad Al-Fatwa dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Umum mengetahui, waktu Imsak masuk 10 minit sebelum waktu Subuh. Adakah apabila masuknya waktu Imsak, maka kita tidak lagi boleh makan dan minum kerana sudah bermulanya puasa?

Antara perkara sunat dalam berpuasa adalah mengakhirkan bersahur. Mengakhirkan di sini bermakna melewatkan proses bersahur.

Di Malaysia, masuknya waktu Imsak adalah 10 minit sebelum masuknya waktu Subuh. Kadang-kadang timbul persoalan dan kekeliruan adakah waktu Imsak itu waktu bermulanya puasa?

Untuk membincangkan isu itu sama-sama kita renungi firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) daripada benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (Maghrib).” (Surah al-Baqarah, ayat 187)

Al-Imam Ibn Kathir Rahimahullah dalam tafsirnya menyatakan, ayat itu memberi kebenaran untuk makan dan minum sehingga ternampaknya cahaya Subuh (fajar sadiq) daripada kegelapan malam.

Terdapat beberapa hadis lain menceritakan mengenai sifat sahur Nabi serta arahan Baginda ketika bersahur antaranya yang bermaksud: “Kami bersahur bersama Nabi SAW kemudian kami mendirikan solat (solat sunat). Aku berkata (iaitu Anas bin Malik RA bertanyakan kepada Zaid bin Thabit RA): “Berapakah kiranya (masa) di antara azan dan sahur itu?” Jawab Zaid bin Thabit RA: “Sekadar bacaan 50 ayat (al-Quran).” (Riwayat Al-Bukhari 1921 & Al-Tirmizi - 703)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani mengatakan, kadar bacaan 50 ayat itu adalah kadar bacaan sederhana. Tidak terlalu laju dan tidak pula terlalu lambat. Begitu juga dengan kadar panjang ayat yang sederhana, tidaklah ayat yang penjang, tidak juga ayat terlalu pendek.

Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Bilal azan pada waktu malam, maka makan dan minumlah sehingga azannya Ibn Umm Maktum.” (Riwayat al-Bukhari - 620)

Ketika zaman Rasulullah, azan Subuh dilaungkan dua kali. Sekali sebelum masuknya waktu Subuh untuk memberikan peringatan manakala azan kedua bermaksud masuknya waktu Subuh.

Berdasarkan hadis itu, Bilal RA azan pada waktu malam menunjukkan bahawa beliau melaungkan azan pertama iaitu sebelum masuknya waktu Subuh (diiktibarkan pada waktu malam).

Maka, Rasulullah memberikan keizinan untuk makan dan minum pada waktu itu (untuk bersahur). Sekiranya sudah azan, Ibn Umm Maktum RA untuk azan kedua, maka ia menunjukkan waktu Subuh sudah masuk dan bermulanya waktu berpuasa.

Iktibarnya di sini adalah masuknya waktu iaitu terbitnya fajar al-sadiq dengan berkumandangnya azan.

Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah dalam al-Majmu’ menyebut: “Kami sebutkan sekiranya terbit fajar dan padanya (di dalam mulutnya) terdapat makanan, maka perlu dia mengeluarkan makanan itu dan kemudian sempurnakan puasanya. Sekiranya dia menelan apa yang ada di dalam mulutnya itu, setelah mengetahui terbitnya fajar al-sadiq, maka batallah puasanya.”

Selepas melihat kepada dalil serta nas yang terdapat di dalam perbahasan berkenaan, kami katakan waktu imsak (10 minit sebelum masuknya waktu Subuh) bukanlah waktu bermulanya puasa.

Maka, pada tempoh itu dibolehkan lagi untuk makan dan minum. Namun, sekiranya kedengaran azan Subuh, maka hendaklah berhenti serta-merta, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga masuk waktu berbuka.

Kami melihat waktu Imsak selama 10 minit itu ada asasnya sebagai waktu untuk ihtiyat (berjaga-jaga) supaya tidak makan melebihi waktu yang sudah ditetapkan sehingga boleh membatalkan puasa seseorang.

Sekiranya seseorang bangun lewat untuk bersahur dan masa masih berbaki untuk bersahur di dalam waktu Imsak, maka dibolehkan dan tidak pula memudaratkan puasanya pada hari berkenaan.

Justeru, kami mencadangkan supaya sahur diselesaikan sebelum masuknya waktu iaitu sebelum azan supaya tidak timbul syubhah (keraguan).

Antara hikmah mengapa disunatkan melewatkan sahur supaya Muslim khususnya lelaki dapat terus bersiap sedia untuk menunaikan solat Subuh.

Jika seseorang mengawalkan sahurnya, boleh jadi dia akan tidur selepas bersahur dan kebarangkalian untuk terlepas waktu subuh amat besar.

Tidak patut seorang Muslim mengejar yang sunat, namun meninggalkan perkara wajib.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 11:53 AM