GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Bersama Datuk Dr Zahazan Mohamed

Soalan: Saya ingin kepastian cara berdoa yang betul supaya permintaan saya dimakbulkan. Berkali-kali saya berdoa, tetapi rasa macam doa itu tidak dimakbulkan.

Azizi, Cheras

Jawapan: Doa adalah sebahagian daripada ibadat. Setiap Muslim perlu menjaga etika dan adab ketika berdoa supaya ia dimakbulkan Allah SWT serta ibadat yang dilakukan bertambah sempurna.

Antara waktu doa dimakbulkan adalah pada hari Arafah, hari Jumaat, bulan Ramadan, malam lailatulqadar, waktu sahur (menjelang sahur) atau di tengah keheningan malam.

Hari Arafah adalah hari di mana kaum Muslimin dari seluruh penjuru dunia berkumpul di Padang Arafah. Mereka berkumpul untuk mendekatkan diri kepada Allah untuk pelaksanaan ibadat haji.

Rasulullah SAW memuji hari Arafah: “Tidak ada satu hari pun yang lebih istimewa di sisi Allah daripada hari Arafah.

Allah turun ke langit bumi mempertontonkan kemuliaan kaum Muslimin kepada para malaikat seraya berkata: “Wahai para malaikat, lihatlah hamba-hamba-ku. Mereka datang menghadap-Ku dalam keadaan susah payah dari penjuru dunia yang jauh dan memohon keselamatan atas seksa-Ku.

Tidak ada satu hari pun di mana Allah membebaskan hamba-hamba-Nya dari seksa neraka daripada hari Arafah.’’ (Riwayat Abu Ya’la, Bazzar dan Ibnu Khuzaimah)

Ramadan juga memiliki keistimewaan untuk memperbanyakkan berdoa. Pada bulan itu, pintu-pintu syurga dibuka seluas-luasnya.

Rasulullah bersabda bermaksud: “Pada bulan Ramadan pintu-pintu neraka ditutup rapat, pintu-pintu syurga dibuka selebar-lebarnya, syaitan-syaitan dibelenggu dan malaikat mengumandangkan panggilan: “Wahai pelaku kebajikan, berbahagialah, dan wahai pelaku maksiat bertaubatlah!” (Riwayat Ahmad)

Seterusnya, waktu doa dimakbulkan adalah hari Jumaat kerana ia adalah penghulu segala hari. Rasulullah menegaskan: “Sebaik-baik hari di mana matahari terbit adalah hari Jumaat.

Pada hari Jumaat Nabi Adam diciptakan, dimasukkan ke syurga dan pada hari itu juga baginda dikeluarkan dari syurga. Dan hari kiamat pun akan datang pada hari Jumaat.” (Riwayat Muslim)

Setiap Muslim hendaklah memperbanyakkan berdoa pada hari Jumaat. Ulama berbeza pendapat mengenai waktu mustajab berkenaan.

Ada mengatakan, ia bermula pada awal pagi Jumaat hingga terbit matahari. Ada juga mengatakan, ketika khatib duduk di antara dua khutbah.

Namun, yang paling kuat adalah pendapat mengatakan waktu sesudah solat Asar hingga Maghrib sebagaimana ditegaskan Rasulullah: “Sesungguhnya dalam hari Jumaat ada waktu mustajab apabila pada waktu itu seorang Muslim berdoa kepada Allah pasti dimakbulkan doanya. Waktu yang dimaksudkan itu ialah sesudah solat Asar.” (Riwayat Ahmad)

Selain itu, lailatulqadar juga memiliki keistimewaan untuk memperbanyakkan berdoa kerana beribadat di dalamnya lebih baik daripada seribu bulan. Rasulullah bersungguh-sungguh mencari malam lailatulqadar iaitu pada sepuluh hari terakhir Ramadan.

Pada waktu itu, Rasulullah memperbanyakkan bacaan, istighfar dan mendekatkan diri kepada Allah dengan memperbanyakkan amal soleh.

Rasulullah menegaskan: “Sesiapa yang melakukan ibadat pada malam lailatulqadar dengan penuh keimanan dan keikhlasan hati, maka diampuni dosa-dosanya yang lalu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ummul Mukminin, Aisyah menegaskan dalam riwayat Ahmad: Pada suatu ketika aku berkata kepada Rasulullah: “Wahai Rasulullah, apakah amalan terbaik yang aku lakukan pada malam lailatulqadar?”

Rasulullah menjawab: “Bacalah: “Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul afwa fa’fu ‘anni.” (Maksudnya Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, suka kepada keampunan, maafkanlah kesalahan-kesalahan kami.”).

Penulis ialah pendakwah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Jun 2018 @ 8:48 PM