Mohd Rizal Azman Rifin

Tahun demi tahun melalui alam persekolahan sehinggalah berakhir di menara gading, kemudian menggenggam segulung ijazah dan itulah lambang pencapaian tertinggi buat diri kita dalam bidang akademik.

Kini, alam persekolahan sudah lama ditinggalkan. Namun, jangan lupakan guru yang pernah berjasa kepada diri kita.

Ingatlah, jasa dan sumbangan mereka yang berkorban menjadikan diri kita seorang ‘manusia’ yang berjaya pada hari ini.

Sesekali apabila tibanya tarikh 16 Mei setiap tahun, kita seolah-olah terpanggil untuk mengenang kembali sumbangan guru. Mungkin ada dalam kalangan mereka yang sudahpun tiada lagi di dunia ini.

Seandainya ada guru kita dulu kini sudah pencen dan bergelar warga emas, ziarahilah mereka untuk bertanya khabar dan menzahirkan ucapan terima kasih.

Mungkin kini kita sudah berkeluarga dan mempunyai anak yang sedang belajar di peringkat pra-sekolah, sekolah rendah, mahupun sekolah menengah.

Didiklah mereka supaya bersopan santun terhadap guru. Perkara itu sangat penting kerana keberkatan ilmu itu hadir bersama- sama sikap beradab.

Tanpa adab dan kesantutunan, sebarang pencapaian yang diperoleh tidak akan mendapat keberkatan di sisi Allah SWT.

Contohilah Imam asy-Syafi’i . Ketika masih belajar, beliau begitu memberi perhatian serius terhadap adab kepada gurunya.

Beliau tidak sewenang-wenangnya berkelakuan yang boleh menghiris perasaan gurunya.

Dikisahkan pada satu hari, Imam asy-Syafi’i ditegur seseorang lantaran sikapnya yang sangat merendah diri terhadap ulama (guru).

Dengan tenang beliau memberitahu menerusi syair yang dikarangnya, ‘Patutkah diriku ini bersikap lebih kurang terhadap ulama?

‘Sedangkan mereka sudi memuliakan diriku. Ingatlah! sekali-kali tidak akan dimuliakan diri yang ego yang tidak mahu merendahkannya.’

Begitulah prinsip yang menjadi pegangan dalam diri seorang penuntut ilmu yang hebat.

Demikian juga satu lagi kisah betapa orang terdahulu sangat menjaga adab dan kesantunan terhadap guru. Kisah itu berlaku pada Ibnu Abbas dan Zaid bin Tsabit.

Pernah satu hari, Ibnu Abbas mengambil tali kenderaan yang dinaiki Zaid bin Tsabit dan berkata, ”Demikianlah kami disuruh oleh syarak untuk melayani ulama kami.”

Seketika kemudian, Zaid turun daripada kenderaannya lalu mengucup tangan Ibnu Abbas lalu berkata: “Demikianlah juga kami disuruh melayani ahli keluarga Nabi kami SAW.

“Semoga Allah SWT melimpahkan taufik-Nya untuk kita semua.”

Ketika Imam asy-Syafi’i menuntut ilmu dahulu, beliau seorang anak murid yang sangat beradab dan santun terhadap gurunya.

Allah SWT membalas atas dunia lagi amalan baik itu kepada Imam asy-Syafi’i. Ketika beliau bergelar seorang guru dan mempunyai anak murid yang ramai, beliau sangat dihormati.

Seorang anak muridnya bernama ar-Rabi’ pernah berkata, “Demi Allah. Aku tidak berani meneguk air sedangkan guruku Imam asy-Syafi’I melihat keadaanku.”

Demikian jugalah sikap beradab dan santun seorang ulama tersohor dalam bidang fiqah iaitu Imam Abu Hanifah.

Rumah beliau dengan rumah gurunya, Hammad jaraknya berselang tujuh lorong. Namun, beliau begitu mengambil berat soal adab dan penghormatan terhadap gurunya itu.

Kata Imam Abu Hanifah, “Aku tidak mengunjurkan kakiku ke arah rumah guruku, Hammad. Hal itu kerana rasa hormatku terhadapnya.”

Betapa tinggi perasaan dan sikap hormat terhadap guru yang terserlah oleh orang terdahulu. Mungkin itulah antara faktor mengapa mereka begitu berjaya dengan ilmu mereka sehingga bergelar ulama terbilang dalam bidang masing-masing.

Itulah keberkatan dan reda daripada Allah SWT. Justeru, kita perlu bermuhasabah untuk melihat kembali diri bagaimanakah sikap kita terhadap guru kita dulu.

Malah, kita wajib mendidik anak kita supaya tidak berkelakuan biadab terhadap guru. Insya-Allah, anak kita bukan saja mampu menjulang tinggi pencapaian ilmu, tetapi sentiasa mendapat berkat.

Penulis Pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mei 2018 @ 10:29 AM