UMAT Islam berbuka selepas sehari berpuasa apabila terbenamnya matahari pada waktu senja.
Mohd Shahrizal Nasir

Minggu ini, seluruh umat Islam mula menunaikan ibadat puasa fardu selama sebulan.

Dengan masa berbaki beberapa hari lagi sebelum kedatangan Ramadan, sematkan keazaman untuk menunaikan ibadat puasa Ramadan dengan penuh kesungguhan serta mengharapkan ganjaran istimewa daripada Allah SWT.

Jangan pula persiakan kehadiran Ramadan dengan menganggapnya sekadar bulan biasa yang akan datang dan pergi.

Rasulullah SAW pernah didatangi malaikat Jibril dengan rupa paras seorang lelaki tidak dikenali oleh sahabat.

Dalam keadaan dirinya sebagai individu asing dalam majlis Rasulullah itu, Jibril mengajukan beberapa soalan kepada Baginda.

Antara soalan yang ditanya: “Maka sekarang khabarkanlah kepadaku daripada hal ihsan? Rasulullah menjawab: Ihsan itu ialah engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, tetapi jika engkau tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya yakinlah Dia melihat engkau.” (Hadis riwayat Muslim)

Hadis itu menjelaskan, ihsan menjelaskan satu situasi seorang hamba menunaikan ibadat kepada Allah SWT dengan cara terbaik.

Terkeluar daripada definisi ihsan apabila sesuatu ibadat dilakukan secara sambil lewa.

Ilmu amat penting dalam pelaksanaan sesuatu ibadat supaya mutu ibadat itu menepati piawaian ditetapkan Allah SWT.

Dalam al-Quran terdapat 12 ayat mengandungi lafaz ‘ihsan’ atau ‘ihsanan’ yang merujuk kepada perbuatan baik atau kebaikan.

Terdapat kira-kira 38 ayat lagi mengandungi perkataan berkaitan ihsan yang merujuk kepada puji-pujian dan penghargaan tinggi kepada pelakunya dengan lafaz muhsin, muhsinun, muhsinin dan muhsinat.

Ibadat puasa amat istimewa kerana nilai pahalanya diberikan secara langsung oleh Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Semua amalan anak Adam untuknya. Allah berfirman: Kecuali puasa. Ia untuk-Ku dan Aku yang akan membalasnya.” (Muttafaq ‘alaih)

Wajar buat kita memastikan ibadat puasa yang akan ditunaikan nanti dibuat dengan penuh ikhlas dan bersungguh-sungguh.

Tidak ada orang mengetahui sama ada dia berpuasa atau tidak melainkan Allah SWT dan diri orang itu sendiri.

Dengan sifat ihsan, ibadat puasa perlu dilaksanakan dalam keadaan kita yakin Allah SWT sedang memerhatikan tindak-tanduk kita pada setiap saat.

Malang sekali apabila terdapat segelintir orang berpuasa, tetapi masih melakukan perkara dilarang Allah SWT seperti mengumpat, menyebarkan fitnah, membazir dan mengabaikan tugas atas alasan berpuasa.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Betapa ramai orang yang berpuasa tetapi tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan rasa lapar.” (Hadis riwayat Ibn Majah)

Antara perkara sering berlaku pada bulan puasa ialah menjadikan puasa sebagai alasan untuk meringankan tugas atau tanggungjawab.

Islam tidak pernah menerima alasan sedang berpuasa sebagai sebab produktiviti kerja menurun.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah suka seseorang daripada kamu jika dia melakukan sesuatu kerja, dia melakukannya dengan bersungguh-sungguh.” (Hadis riwayat Muslim)

Tambahan pula, kebanyakan tempat kerja khususnya sektor kerajaan menamatkan waktu operasinya lebih awal pada bulan Ramadan.

Maka, tidak timbul soal pengurusan masa, tenaga dan bebanan tugas sepanjang Ramadan.

Sifat ihsan ketika berpuasa akan menjadikan diri sentiasa beringat perlunya menunaikan ibadat puasa serta menjaga kualiti pelaksanaannya.

Sekiranya setiap Muslim memahami konsep ihsan dalam pelaksanaan ibadat puasa, maka perkara salah seperti dinyatakan tidak akan berlaku.

Setiap kita akan sentiasa berwaspada dalam percakapan dan perbuatan kerana sekiranya tidak dipelihara, ia memberi kesan negatif kepada mutu ibadat.

Dengan sifat ihsan, kita yakin semua perkataan dan perbuatan tidak pernah terlepas daripada pengetahuan Allah SWT.

Allah SWT menyukai orang yang berbuat ihsan dan akan melimpahkan rahmat-Nya kepada golongan itu.

Allah SWT berfirman maksudnya: “Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang muhsinin (orang yang memperbaiki amalannya).” (Surah al-A’raf, ayat 5)

Kita tidak mahu tergolong dalam kalangan orang yang sekadar berpuasa kerana melihat orang sekeliling berpuasa.

Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mei 2018 @ 1:26 PM