JASIN 15 DECEMBER 2016. ( MB753P / kuota MRSM ) Antara pengunjung menderma untuk tabung Rohingya pada Majlis Pelancaran Projek Pembangunan Rakyat Terpimpin (PPRT2) dan Pelancaran Tabung Amal "Demimu Rohingya" Peringkat Negeri Melaka yang dirasmikan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ismail Sabri Yaakob di RTC Sungai Rambai, Jasin. NSTP/ RASUL AZLI SAMAD
Sumber: Al-Kafi Li al-Fatawi dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Apakah perbezaan antara sedekah (derma), wakaf dan infak?

Sedekah bererti pemberian yang padanya dicari pahala daripada Allah SWT. (Rujuk al-Ta’rifat - 1/132)

Ibn Manzur memberikan definisi sedekah sebagai apa yang kita berikan kerana Allah SWT kepada golongan fakir yang memerlukan. (Rujuk Lisan al-Arab (10/196)

Sedekah merangkumi maksud zakat wajib dan sedekah sunat seperti yang dimaksudkan dalam al-Quran yang bermaksud: “Sesungguhnya sedekahsedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir dan orang-orang miskin dan amil-amil yang menguruskannya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Taubah -9:60)

Begitu juga keterangan hadis dalam surat yang ditulis Saidina Abu Bakar RA yang maksudnya: “Kefarduan sedekah (iaitu zakat) ini ialah sepertimana yang difardukan Rasulullah SAW ke atas kaum Muslimin. (Hadis riwayat Imam Bukhari (1454)

Infak pula menurut al-Jurjani bererti membelanjakan harta kepada yang berhajat. (Rujuk al-Ta’rifat - 1/39)

Dalam Surah al-Baqarah, ayat 3, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “(Orang yang beriman itu adalah) orang-orang yang beriman dengan perkara yang ghaib, menunaikan solat dan mereka memberi infak apa yang kami rezekikan kepada mereka.”

Perkataan ‘yunfiquun’ dalam ayat itu menurut pilihan Imam al-Tabari merujuk kepada pensyariatan zakat dan pemberian nafkah kepada ahli keluarga yang ditanggung. (Rujuk Jami’ al-Bayan - 1/244)

Justeru, sedekah dan infak itu adalah sinonim manakala wakaf dari sudut bahasa bermaksud menahan sesuatu.

Dari sudut istilah, ia membawa maksud menahan harta yang boleh diambil daripadanya manfaat berserta mengekalkan ‘ain harta berkenaan.

Ia menghilangkan pemilikan dan pengurusan harta itu daripada pewakaf dan harta itu akan digunakan pada jalan yang dibenarkan ataupun keuntungan daripadanya (harta wakaf itu) digunakan untuk jalan kebaikan. (Lihat Mughni al-Muhtaj - 2/376)

Pahala orang yang berwakaf akan berkekalan selagi harta wakaf itu masih wujud walaupun selepas kematian pewakaf.

Wakaf juga disebut sebagai sedekah jariah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jika mati seorang manusia itu akan terputuslah catatan amalannya melainkan tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakan baginya kebaikan. (Hadis riwayat Imam Muslim - 1631)

Imam Nawawi menjelaskan, sedekah jariah itu bermaksud wakaf. (Rujuk Syarh Muslim - 11/85)

Pengertian infak dan sedekah adalah zakat wajib, sedekah sunat dan wakaf manakala wakaf pula lebih khusus kepada amalan wakaf.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mei 2018 @ 1:22 PM