PENANG 13 August 2015. Seramai 240 murid dari tiga buah sekolah menyertai program menaikkan bendera gergasi 18 meter dalam bentuk lukisan cap tangan di Sekolah Kebangsaan Mak Mandin, Butterworth, Pulau Pinang. NSTP/Ramdzan Masiam
Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan berpegang teguhlah dengan tali Allah (ajaran dan panduan daripada Allah) dan janganlah kamu berpecah- belah.” (Surah Ali Imran, ayat 103)

Umat Islam wajib menyakini Allah SWT tidak memerintahkan manusia melakukan sesuatu perkara atau tindakan melainkan perkara yang diperintahkan itu mempunyai kebaikan.

Malah, perkara yang diperintahkan Allah SWT ke atas manusia adalah semata-mata untuk menyelamatkan manusia daripada sebarang kebinasaan dan kehancuran.

Ayat itu jelas meminta manusia menjalankan tanggungjawab menyatupadukan ummah dan melarang daripada berpecah-belah.

Islam melarang sebarang perkara atau tindakan yang boleh menyebabkan bahaya atau mempunyai potensi untuk mendatangkan bahaya.

Menurut ayat itu juga, dua perkara yang wajib dilakukan umat Islam demi kebaikan sesebuah negara ialah:

1. Mengadakan usaha mengukuhkan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat dan negara.

2. Mengelakkan perkara atau perbuatan yang boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan negara.

Perpaduan adalah perkara pokok bagi membolehkan kesejahteraan dan keselamatan masyarakat dan negara terjamin.

Sebab itulah Allah SWT mengajak manusia bersatu padu dan amat melarang kepada perpecahan.

Perpecahan manusia akan mencetuskan suasana tidak aman dan masyarakat yang huru-hara membantutkan pembangunan bangsa dan negara.

Kita boleh menyaksikan bagaimana kehancuran sesebuah negara akibat perbalahan dan rakyatnya berpecah-belah.

Bagi sebuah negara berbilang bangsa dan suku kaum yang mengamalkan kepelbagaian kepercayaan agama, adat resam dan cara hidup yang berbeza, amat penting bagi kita hidup dengan semangat perpaduan.

Terlalu besar faedah dan manfaat yang diperoleh apabila rakyat Malaysia hidup dalam keadaan bersatu padu.

Perpaduan yang teguh dalam kalangan rakyat akan mewujudkan kestabilan dari segi politik dan ekonomi.

Hal itu sudah pasti akan menarik minat lebih banyak pelaburan asing dalam pelbagai sektor yang akan meningkatkan ekonomi negara.

Perpaduan memberi jaminan keamanan, keselamatan dan kemajuan.

Salah satu faktor terbesar yang boleh menyebabkan rosaknya peradaban bangsa dan negara ialah perselisihan dan perpecahan yang berpanjangan.

Pengabaian terhadap etika dan moral ketika berbeza pendapat serta menjadikan ilmu sebagai modal untuk berselisih faham akhirnya akan menghancurkan masyarakat.

Islam tidak melarang perbezaan pendapat tetapi perlu dijaga adab dan etikanya.

Jangan sampai membawa kepada perpecahan dalam kalangan umat Islam.

Namun, perbezaan pasti berlaku tetapi jika tidak dijaga disiplin dan adabnya akan menimbulkan implikasi buruk dan menjatuhkan imej Islam pada pandangan umum, apatah lagi bagi mereka yang bukan beragama Islam.

Dua perkara penting mesti diamalkan sesama manusia untuk mengekalkan perpaduan dalam kepelbagian ialah:

1. Niat ikhlas dalam mencari yang hak serta melepaskan diri daripada hawa nafsu.

2. Berlapang dada dalam menerima kritikan dan memahami perbezaan itu adalah fitrah.

Semoga semua rakyat Malaysia meletakkan agenda yang utama untuk kepentingan masyarakat dan negara supaya negara kita terus maju dan menjadi negara yang disegani dan dihormati.

Penulis Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Profesor di Jabatan Kimia, Fakulti Sains Universiti Putra Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mei 2018 @ 3:03 PM