KUALA LUMPUR 19 APRIL 2017. Kawasan Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang,yang berlatar belakang pembangunan di Kuala Lumpur. NSTP/AIZUDDIN SAAD
Sedetik Rasa

Setiap manusia akan kembali kepada Pencipta-nya apabila tiba masa yang ditentukan.

Kematian adalah satu peringkat sebelum memasuki fasa kehidupan yang lain iaitu proses pengembalian manusia kepada asal kewujudan mereka.

Tubuh badan kita berasal daripada tanah yang akan dikembalikan ke tanah semula manakala roh yang berasal daripada Allah SWT akan dikembalikan semula kepada Yang Maha Esa.

Dikembalikan semua kepada-Nya dalam ruang waktu dan kehidupan yang tidak dapat disamakan dengan apa jua di dunia ini.

Tiada siapa pun yang dapat menjamin sama ada mereka dapat hidup walaupun sesaat.

Ketika kematian menghampiri manusia, segala memori berkaitan kehidupan tiba-tiba lenyap. Tiada lagi kenangan indah yang pernah dialami.

Segala jawatan dan kedudukan yang disandang sebelum ini akan bertukar tangan kepada orang lain.

Harta yang dikumpulkan sepanjang hidup akan menjadi hak pewarisnya.

Ibnu Umar meriwayatkan: “Rasulullah SAW memegang bahuku lalu berkata: Jadilah kamu di dunia ini seperti orang asing atau perantau.

“Kemudian Ibnu Umar berkata: Sekiranya kamu berada pada waktu petang, kamu jangan mengharap hidup sampai pagi hari. Sekiranya kamu berada pada waktu pagi, kamu jangan menantikan waktu petang. Gunakan waktu sihatmu sebagai bekalan pada masa sakitmu dan masa hidupmu untuk kematianmu.” (Hadis riwayat Bukhari)

Sebahagian ilmuwan Islam mentakrifkan, kiamat kecil itu sebagai kematian. Setiap individu yang sudah meninggal dunia itu bererti kiamat sudah datang kepadanya.

Aisyah meriwayatkan, “Beberapa individu Arab Badwi datang kepada Nabi Muhammad bagi bertanya perihal hari kiamat. Kemudian Baginda melihat individu terkecil di antara mereka dan berkata: Sekiranya dia ini panjang umur, dia tidak sampai hari tuanya sehingga kiamat terjadi kepada kamu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadis itu, Ibnu Kathir menyatakan, maksud hadis itu ialah apabila berakhirnya umur seseorang itu, tiba saatnya mereka masuk ke alam akhirat.

Apabila seseorang meninggal dunia, dia masuk ke alam akhirat. Sebahagian ilmuwan berpendapat, sesiapa yang meninggal dunia, bererti kiamat sudah terjadi ke atasnya.

Kiamat kecil juga disebut sebagai kebangkitan pertama iaitu tempat kembali yang pertama (alam barzakh).

Kebangkitan pertama itu adalah perpisahan roh dengan jasad serta kembali ke tempat pembalasan pertama.

Kiamat besar pula adalah binasanya seluruh alam ini serta makhluk di dalamnya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Semua yang ada di bumi itu menjadi binasa dan zat Tuhanmu yang mempunyai kebesaran serta kemuliaan tetap kekal.”

Justeru, tujuan hidup manusia di dunia ini adalah untuk menyerahkan seluruh dirinya bagi menyembah Allah SWT Yang Maha Esa dengan sepenuh keikhlasan serta menjauhkan diri daripada perkara yang menyekutukan Allah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mei 2018 @ 10:31 PM