BERDOALAH kepada Yang Maha Esa pada waktu susah dan senang kerana Allah sentiasa dekat dengan hamba-Nya.
Hilmi Isa

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku.

“Maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Surah al-Baqarah, ayat 186)

Sebagai hamba yang lemah, kita akan berhadapan dengan 1,001 ujian dan cubaan. Rasulullah SAW juga menghadapi ujian besar dalam menyampaikan dakwah Baginda.

Baginda dipulaukan keluarga, diejek dan dihina. Bukan sehari dua ujian yang dihadapinya, tetapi ia berlanjutan bertahun-tahun lamanya.

Tidak dinafikan, dalam hidup ini kita lemah untuk mengatasi ujian seperti kerenah anak, tekanan di tempat kerja dan masalah dalam perniagaan.

Kita juga lemah menghadapi masalah dalam rumah tangga serta konflik dengan keluarga mentua.

Kadangkala ujian yang dihadapi dalam hidup menyebabkan kita hampir hilang arah.

Ada orang Islam yang hampir murtad. Dia hampir menjejakkan kaki ke gereja akibat masalah kewangan yang dihadapi.

Dia lupa sebelum berhadapan dengan masalah kewangan itu, Allah SWT beri kelapangan rezeki melimpah ruah kepadanya.

Begitulah manusia yang sering lupa saat diuji. Saat diuji, ramai yang menyalahkan takdir.

Berapa lama kita dilimpahkan Allah SWT dengan pelbagai nikmat?

Berdoalah kepada Allah SWT supaya Dia memberikan kekuatan untuk mengatasi segala ujian hidup serta jalan keluar kepada masalah yang kita hadapi itu.

Daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Berdoalah kepada Allah dalam keadaan yakin akan dikabulkan dan ketahuilah bahawa Allah tidak mengabulkan doa daripada hati yang lalai.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Seorang pakar motivasi Neuro Linguistic Programming (NLP)terkemuka Asia berkata, pelanggannya menyatakan hidupnya pasti kurang masalah yang membuatkannya sentiasa ceria.

Dia tersenyum sambil menyatakan, kalau orang biasa berada di tempatnya, mungkin orang itu mati akibat dilanda masalah. Mengendalikan sebuah syarikat yang mempunyai ratusan pekerja dengan pelbagai kerenah boleh membuatkan nafas seseorang itu sesak.

Belum lagi dicampur konflik perkahwinan, perceraian ibu bapa dan sebagainya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya.

“Dan sesiapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluannya). Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Talaq, ayat 2 dan 3)

Penulis ialah Perunding Psikologi Bahasa

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mei 2018 @ 10:45 AM