PILIHAN buah-buahan untuk snek.
Oleh Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


KENAIKAN berat badan selepas melahirkan cahaya mata pasti menjadi mimpi ngeri kepada wanita. Apatah lagi sekiranya pertambahan ini berterusan untuk kandungan seterusnya tanpa ada tanda penyusutan atau kembali kepada berat badan asal.

Pengalaman dilalui Siti Zainab Abdul Aziz yang berjaya menurunkan berat badan sebanyak 35 kilogram (kg) dalam masa tiga bulan hanya dengan konsisten menjaga pemakanan dan bersenam bukanlah sesuatu yang mustahil.

Menurut ibu kepada empat cahaya mata ini, berat badannya naik mendadak selepas kelahiran anak kedua bermula berat asal 60kg kepada 85kg. Kemudian meningkat kepada 95kg selepas melahirkan cahaya mata ketiga.

“Pengambilan pil perancang keluarga menyumbang kepada kenaikan berat badan ditambah kurang bersenam. Melihat imej badan di cermin saya mula berdiet secara serius. Saya mula membaca mengenai puasa bersela yang membantu menurunkan berat badan, menyertai kelas zumba pada setiap malam dan berjoging setiap hari bersama suami dan anak,” katanya.

SITI ZAINAB berjaya mengekalkan berat badan 60kg.

Ketika itu Siti Zainab yang juga pemilik Farmasi Hana menjelaskan dia tekad menurunkan berat badan disebabkan mempunyai masalah cakera tergelincir di samping mengelak pelbagai penyakit lain seperti serangan jantung, diabetes dan tekanan darah tinggi.

Dia mula mencari makanan sesuai untuk teknik puasa bersela dan mula menghasilkan resipi sendiri. Ketika itu dia tertarik dengan pembahagian waktu yang digunakan iaitu puasa selama 16 jam dan makan selama lapan jam atau teknik ‘window 16/8’.

“Apa yang membuatkan saya tertarik dengan puasa bersela ialah ia tidak mengehadkan apa yang saya boleh makan sebaliknya mengubah waktu makan.

“Selalunya orang akan mengelak mengambil sarapan dan hanya makan dua kali sehari iaitu makan tengah hari dan malam.

“Ini sekali gus dapat menjimatkan wang dan masa untuk makan selain mengurangkan satu masalah besar iaitu memikirkan jenis makanan yang akan diambil,” katanya.

Mengenai jenis makanan pula, Siti Zainab mengelak mengambil makanan berminyak, mengamalkan konsep tanpa gula dan teknik suku-suku-separuh.

BUAH-BUAHAN pelbagai warna menjadi hidangan utama.

Sambil menceritakan makanan untuk sarapan, makan tengah hari dan malam, walaupun ia memerlukan kesungguhan dan komitmen tinggi, namun disebabkan sokongan suami dia mampu melakukannya.

“Menariknya mengenai puasa bersela ini ialah sistemnya fleksibel. Tiada undang-undang mengatakan anda perlu makan dan puasa pada masa tertentu. Sebaliknya anda hanya perlu memenuhi sistem ‘window 16/8’ tadi.

“Anda boleh sesuaikan dengan cara hidup atau waktu kerja. Bagi yang baru mencuba, anda boleh bermula dengan makan tengah hari pada jam 12 tengah hari dan makan terakhir pada jam 8 malam.

“Seterusnya anda akan berpuasa bermula jam 8 malam sehingga 12 tengah hari keesokan harinya dengan 16 jam berpuasa. Sistem ini tidak susah untuk diamalkan kerana anda akan berpuasa ketika tidur,” katanya.

Menjelaskan jenis makanan yang diambil, kata wanita ini, dia melebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam hidangan mengikut konsep suku-suku-separuh.

“Saya hanya mengambil nasi sekali sehari iaitu pada waktu petang dengan melebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam setiap hidangan. Untuk memastikan kejayaan puasa bersela ini, saya mengelak makanan berminyak, bergaram dan bergula,” katanya.

Selain menjaga pemakanan Siti Zainab turut bersenam dan berzumba selama satu jam setiap hari. Kesan menjaga pemakanan dan bersenam pada bulan pertama berat badannya turut mendadak sebanyak 10kg dan 25kg pada bulan kedua. Pada bulan ketiga penurunan sehingga 35kg dengan berat 57.5kg daripada 95kg.

Menurut Siti Zainab, selepas tiga bulan dia mendapati badannya lebih cergas, tidak mudah penat, kulit semakin cantik dan nampak muda. Masalah cakera tergelincir juga berkurangan. Selepas kelahiran anak keempat dia mampu mendapat berat 60 kg dan ia sudah tentu sangat menggembirakan.

“Nasihat kepada wanita yang baru melahirkan cahaya mata, mereka boleh mendapat kembali berat badan asal hanya dengan menjaga pemakanan dan juga bersenam.

“Jika tidak mampu ke gimnasium, bersenam di rumah selama satu jam sehari. Jangan jadikan alasan sibuk atau anak ramai untuk tidak menjaga penampilan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 5:10 AM