PERUNTUK 45 minit untuk berdandan
Oleh Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


UNTUK bergaya, tidak perlu bajet tinggi atau berbelanja besar jika anda bijak mencari padanan yang cantik dan mudah disuai padan.

Membeli pakaian terpakai atau bundle juga boleh membuatkan anda tampil anggun jika pandai menggayakannya.

Atlet 400 meter lari berpagar negara, Saidatul Izzati Suhaimi berkata, dia memang seorang yang menjaga penampilan kerana ia mampu membawa aura positif sepanjang hari.

Status sebagai siswa di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan atlet yang sering mengundang tumpuan turut menjadi antara sebab dia mahu tampak sentiasa bergaya.

Mengakui agak cerewet dalam memilih persalinan harian, Izzati berkata, dia mempunyai pelbagai koleksi pakaian, malah banyak juga yang dibeli dari kedai bundle yang membawakan busana Jepun.

Katanya, fesyen pakaiannya mengikut arus semasa dan paling penting ia sesuai dengan gaya remaja.

“Saya sebenarnya seorang yang gemarkan aksesori kerana ia boleh menampakkan kelainan.

“Jika ditanya warna pilihan, buat masa ini saya lebih suka menggayakan warna cerah, merah jambu ataupun ungu.

“Pemilihan warna dan aksesori ini perlu dipadankan dengan keadaan agar tidak terlalu menyerlah atau tidak pula terlalu kusam. Saya perlu bijak memilih pakaian bersesuaian dengan keadaan selain menitikberatkan keselesaan,” katanya.

Kata Izzati, sebelum ke kelas dia memperuntukkan masa 45 minit untuk bersiap dan berdandan supaya penampilannya tampak sepadan dengan pakaian yang tersarung di badan.

“Jika ingin penampilan ringkas, saya akan cuba bergaya seringkas yang boleh.

“Namun apa yang penting adalah berani bereksperimen dan yakin apa yang dipakai bersesuaian dengan keadaan ketika itu,” katanya.

Gadis manis ini mengakui, meskipun sibuk, minatnya terhadap dunia fesyen dan mahukan kelainan membolehkan dia tampil dengan gaya segar dan berbeza setiap kali melangkah ke kelas.

“Bagi saya ia satu perkara penting, apatah lagi sebagai atlet yang membawa imej negara. Malah saya juga akan memastikan penampilan sentiasa terjaga biarpun ketika beraksi di mana-mana pertandingan,” katanya.

Bagaimanapun, dia yang tidak terpilih untuk bersama skuad olahraga negara ke temasya Sukan SEA Filipina bulan depan berkata, ia bukan penamat kepada kariernya sebagai atlet olahraga dan bertekad memperbaiki prestasinya pada 2020.

Gadis berusia 23 tahun ini berkata, 2020 disifatkan tahun yang lebih mencabar dan dia sudah bersedia memberikan yang terbaik kepada negara.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 November 2019 @ 5:00 AM