Oleh Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


APABILA bercerita mengenai berpantang, seakan-akan terdapat dua kumpulan yang memperjuangkan pendirian mereka.

Satu pihak mengatakan berpantang cara tradisional itu bagus bagi mengembalikan bentuk badan, manakala kumpulan yang lebih moden berpendapat berpantang itu perlulah mengikut kesesuaian dengan berkiblatkan perubatan moden.

Jadi di mana benarnya? Wujudkah berpantang cara moden pada masa sekarang? Menurut jurulatih Akademi Mobil Spa Jari Emas, Azlina Amran senario pada masa sekarang berbeza daripada zaman dahulu.

Kebanyakan wanita di bandar berpantang secara bersendirian tanpa ditemani ibu. Golongan ini biasanya ingin cepat dan tiada masa memandangkan perlu melakukan banyak kerja dalam satu masa.

“Ditambah pula kesakitan selepas bersalin membuatkan ibu berasa kurang selesa. Demam kuning yang dialami bayi menyebabkan ada ibu muda, khususnya tertekan atau meroyan. Apabila ini berlaku penghasilan susu terjejas dan kesannya jaundis menjadi lebih lama,” katanya.

Jelas Azlina, penjagaan ibu selepas bersalin sebenarnya boleh dilakukan secara bersendirian berasaskan konsep DIY (do it yourself) asalkan mempunyai ilmu mengenainya.

Hal ini sesuai bagi mereka yang kurang berkemampuan untuk mengambil mak bidan atau penjaga dalam pantang bagi menguruskan diri di rumah.

“Bagi melaksana proses ini wanita perlu mendapatkan nasihat daripada golongan yang lebih arif dengan cara mengikuti kelas berpantang dan bukannya mendapatkan info daripada Internet saja.

“Menerusi ilmu diambil daripada bidan terdahulu ditambah perubatan moden yang diaplikasikan mengikut kesesuaian badan menjadikan ibu lebih tenang sekali gus proses berpantang berjalan lancar,” katanya.

Jelas Azlina lagi, berpantang secara moden atau DIY bukanlah menidakkan cara tradisional. Apa yang dilakukan adalah wanita memilih dan menukar kepada cara moden namun kesan dan faedah diperoleh tetap sama.


BERBARING dengan cara mengangkat pinggul beberapa kali boleh mengecutkan rahim.

Misalnya selepas pulang ke rumah si ibu masih lemah dan tidak mampu bergerak disebabkan luka yang masih baharu. Menggantikan proses bertungku, mereka boleh bersenam bagi mengeluarkan darah kotor.

“Senaman dengan cara meniarap dan mengangkat pinggul beberapa kali mampu melancarkan peredaran darah, mengeluarkan darah kotor dengan cepat dan mengecutkan rahim.

“Menerusi senaman ibu tidak perlu bertungku setiap pagi dan petang. Apatah lagi jika dilihat bertungku pada zaman dulu perlu menggunakan daun herba dan dibakar sudah tentu ia menyukarkan wanita melakukannya bersendirian,” katanya.

Amalan berpantang yang mengehadkan kepada pemakanan jenis berangin, berprotein tinggi seperti telur dan ayam juga minum air dalam kadar yang sedikit juga seharusnya ditukar kepada pengambilan makanan sihat.

Kunci utama yang perlu ditekankan adalah kesihatan ibu dan bayi. Oleh kerana bayi bergantung kepada susu badan sepenuhnya jadi ibu perlu mendapatkan makanan sihat bagi memperbanyakkan susu badan.

“Jika minum air kurang, makanan pula bercatu bagaimana si kecil mampu mendapat khasiat sepenuhnya? Jadi pastikan minum air secukupnya bukan saja untuk susu, tetapi kesegaran badan,” katanya.

Selain itu sayur-sayuran dan buah-buahan sangat penting diambil ketika dalam pantang. Walaupun masih ada stigma mengenai sayuran berangin dan menyebabkan risiko demam sepatutnya ibu moden tidak lagi berpandukan kepada kata-kata ibu atau nenek moyang terdahulu sebaliknya cuba merasai sendiri dan melihat kesannya.

“Ini kerana setiap orang memiliki fisiologi badan berbeza. Tidak semua akan mengalami angin jika makan sayur tertentu. Mungkin ia hanya berlaku kepada individu lain bukannya diri anda. Jika takut cuba rasa sedikit dan lihat sama ada, ada tindak balas atau tidak. Begitu juga dengan buah-buahan amalan mengambil oren membantu mempercepatkan penyembuhan luka,” jelasnya.

AMBIL MAKANAN TAMBAHAN

Terbiasa dengan jamu ketika dalam pantang sebagai pengganti makanan herba ini, wanita boleh mengambil makanan tambahan seperti vitamin C dan kalsium yang memberikan tenaga selain membantu memulihkan luka dengan cepat.

Oleh kerana dikhuatiri jamu yang dijual di pasaran tidak asli kerana bercampur dengan pelbagai bahan, jadi Azlina mencadangkan wanita mengambil herba asli sebagai minuman tambahan.

“Saya lebih suka wanita mengambil makanan tambahan menggantikan jamu. Jika masih mahukan jamu ambil cengkih, halia, serai kemudian direndam dan diminum airnya kerana ia lebih selamat dan berkesan,” katanya.

Sebagai wanita bijak dan berilmu mereka perlu mempertimbangkan apa yang baik untuk diri dan bayi dan bukan menurut amalan nenek moyang sejak berzaman yang tidak dapat dipastikan sama ada masih relevan atau tidak.

Namun begitu ada beberapa amalan yang masih perlu dilakukan seperti berurut dan berbengkung yang dapat mengembalikan bentuk badan.

Berurut selama tiga atau lima hari sudah mencukupi, manakala bengkung pula cari yang dapat memudahkan pergerakan bagi menguruskan bayi.


BERURUT mengembalikan kesegaran badan dan melancarkan peredaran darah.

Apa yang perlu diberi penekanan adalah mendapatkan ilmu ketika hamil dan bagaimana proses berpantang yang akan dilakukan. Ini bagi memudahkan anda menyediakan barang keperluan ketika berpantang.

Selain itu pastikan anda menjaga kecantikan ketika dalam pantang. Kulit perlu dibelai dengan losen bagi mengelak kekeringan, manakala rambut dijaga rapi supaya tidak berbau dan gugur. Paling penting bahagian vagina perlu dijaga sepenuhnya bagi mengelak berbau atau dijangkiti kuman.

“Berpantang mengikut cara tradisional selama 44 hari, namun untuk kesembuhan luka dan mengembalikan keadaan badan seperti sedia kala mengambil masa selama tiga bulan. Oleh itu, bersenam, jaga makan dengan mengambil makan berkhasiat serta minum air secukupnya perlu dilakukan sepanjang tiga bulan dan diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 5:15 AM