Oleh Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


JURUSOLEK bukan sekadar mencantikkan watak dalam drama mahupun filem, namun mereka juga mencipta ilusi realiti menerusi pelakon yang membawakan watak seram, menakutkan, mengerikan atau meloyakan.

Menerusi kreativiti jurusolek kesan khas ini mereka berjaya menukarkan personaliti menjadi hantu, luka akibat kemalangan dan kebakaran serta pelbagai wajah menggerunkan yang dihasilkan menggunakan bahan khas untuk solekan.

Menurut jurusolek profesional, Yann Rifft solekan kesan khas atau SFX terbahagi dalam banyak kategori. Bagaimanapun, yang biasa digunakan dalam kalangan jurusolek adalah cecair getah (latex), gam dan tisu ditampal pada muka pelakon bagi membentuk sesuatu seperti kesan luka parah atau wajah kedut orang tua.

“Keadaan ini berbeza bagi jurusolek luar negara apabila mereka menterjemahkannya menggunakan kaedah prostetik iaitu teknik membuat kulit palsu dengan acuan berdasarkan wajah pelakon sebelum penggambaran bermula.

“Objek kulit wajah palsu ini akan ditampal pada muka pelakon supaya karakter nampak lebih semula jadi berbanding mekap biasa,” katanya.

Sambil menunjukkan langkah demi langkah membuat kesan terbakar pada wajah model, Yann menjelaskan jika solekan biasa memerlukan alat solek seperti bedak, gincu, pembayang mata, celak dan maskara.

Begitu juga dengan solekan kesan khas yang turut menggunakan bahan tersendiri seperti cecair getah dan gam, tisu, putik kapas, tanah liat, sirap, cat termasuk kosmetik seperti bedak asas, celak dan pembayang mata yang akan menjadikan solekan lebih berwarna dan menjadi.

“Semua bahan ini perlu ada supaya dapat melancarkan proses solekan. Pengering rambut juga di antara peralatan yang membantu proses mempercepatkan pengeringan latex atau gam,” katanya.

Sambil menunjukkan kepada penulis teknik mewarna, jelas Yann solekan ini bermula dengan sapuan latex ke bahagian yang ingin ditonjolkan. Selepas kering barulah pewarna diletakkan ke bahagian itu manakala gam ini akan dicarik-carik bagi menampakkan isi seperti terbakar dan terkeluar.

Bagi menampakkan ia kesan terbakar pewarna merah diletakkan di sekelilingnya supaya kulit kelihatan melecur teruk. Bahagian ini agak sedikit mencabar kerana perlu dilakukan lebih berhati-hati agar sempurna. Pada akhirnya kesan terbakar kelihatan semula jadi dan tidak keterlaluan.

“Menyudahkan solekan adalah dengan menambah penggunaan pembayang mata dan pewarna bagi memberikan lebih tumpuan dan fokus pada bahagian tertentu,” katanya.

Tidak seperti solekan biasa yang mengambil masa hanya satu jam tetapi solekan kesan khas memerlukan masa lebih panjang bergantung kepada luas bahagian yang ingin diwarnakan serta fungsinya.

“Pernah saya menyolek selama tiga jam untuk menghasilkan wajah hantu dan juga kesan kemalangan ngeri di dalam drama. Solekan kesan khas memberikan kepuasan selepas melihat hasilnya.

“Lebih penting apabila penonton merasai kesakitan, ketakutan atau kesedihan menerusi watak yang ditonjolkan ia menandakan kejayaan jurusolek,” katanya.

LANGKAH DEMI LANGKAH

1. WAJAH model sebelum disolek.

2. BAHAGIAN pipi dibersihkan kemudian disapu gam.


1 dan 2

3. AMBIL latex kemudian sapu bahagian yang ingin ditonjolkan sehingga rata.


3

4. SELEPAS kering, kopek bahagian latex secara perlahan dan teliti. Perlu ada tekniknya juga bagi mendapatkan kesan yang sekata dan semula jadi.


4

5. AMBIL putik kapas sapu bahagian yang dikopek tadi dengan pembayang mata atau bedak asas.


5 dan 6

6. TAMBAHKAN pewarna agar kesan terbakar lebih jelas dan semula jadi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 5:10 AM
KERJA letak pewarna merah untuk nampakkan kesan melecur paling mencabar.